Anugerah Sekolah Hijau inisiatif memperkasakan kesedaran terhadap plastik sekali guna

Admin

GEORGE TOWN – Anugerah Sekolah Hijau merupakan salah satu inisiatif bagi memperkasakan kesedaran untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.

Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali berkata, dalam menangani isu penggunaan plastik sekali guna dan penyedut minuman plastik, pihak Majlis sentiasa berusaha keras memastikan sasaran tersebut boleh dicapai.

“Dengan adanya anugerah alam sekitar dan program-program seumpama ini, maka diharapkan dapat meningkatkan lagi kesedaran di kalangan masyarakat dan pelajar-pelajar sekolah mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.

“Oleh itu, menjadi harapan kita (MBPP) untuk melihat lebih banyak lagi sekolah lain diberi peluang atau mengambil peluang untuk menjadi ‘sekolah hijau’ lantas melahirkan pelajar-pelajar yang mementingkan penjagaan alam sekitar,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Sekolah Hijau 2019 Peringkat Pulau, Pulau Pinang di sini semalam.

Hadir sama, Ahli-ahli Majlis bagi MBPP; Pegawai Kanan Projek dan Program bagi Penang Green Council (PGC), R. Renuka dan Wakil Unit Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Mohd. Faisol Abu Bakar.

Tambah Addnan, pertandingan tersebut mula diperkenalkan pada tahun 2010 dan hanya menerima penyertaan daripada 24 sekolah sahaja, angka tersebut telah meningkat tiga kali ganda pada tahun ini dengan jumlah penyertaan keseluruhan membabitkan 75 buah sekolah.

Tahun ini, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Pulau Tikus berjaya dinobatkan sebagai juara Anugerah Sekolah Hijau 2019 bagi kategori sekolah menengah.

Kejuaraan tersebut melayakkan SMK Convent Pulau Tikus membawa pulang hadiah wang tunai RM2,200, trofi dan sijil.

Sementara itu, SMK Padang Polo menduduki tempat kedua membawa pulang hadiah wang tunai RM1,800, trofi dan sijil, manakala tempat ketiga SMK Convent Lebuh Light (RM1,200, trofi dan sijil).

Kategori sekolah rendah pula memperlihatkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Eng Chuan mempertahankan gelaran untuk kali kedua berturut-turut menewaskan Sekolah Kebangsaan (SK) Balik Pulau ditempat kedua dan SJKC Eok Hua (ketiga).

Selain itu Anugerah Sekolah Hijau 2019 turut mempertaruhkan kategori-kategori lain seperti Anugerah Galakan, Video Pendek, Penyertaan Masyarakat, Inovasi Kreatif, Kebersihan dan Penghijauan dan Sumber Asli untuk peringkat sekolah menengah dan rendah.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : CHAN KOK KUAN