Kerajaan Negeri belanja RM232 juta selenggara skim perumahan awam dan swasta – Exco

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang telah membelanjakan RM232 juta untuk tujuan penyelenggaraan skim-skim perumahan di negeri ini sejak 2008 hingga September lalu.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Sing Deo berkata, jumlah tersebut adalah melibatkan penyelenggaraan bagi skim perumahan awam, skim perumahan swasta dan skim perumahan di bawah seliaan kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini.

“Bagi perumahan awam kerajaan negeri, sebanyak 20,067 projek telah dilaksanakan dengan peruntukan berjumlah RM178,858,934.57 sehingga September lalu.

“Antara kerja-kerja yang dijalankan termasuklah penyelenggaraan awam, elektrik dan mekanikal, penyelenggaraan sistem pembentungan, pembaikan lampu koridor, pemotongan pokok, pembaikan bumbung, penurapan jalan, cat semula bangunan, pembersihan dan keselamatan,” katanya semasa sesi perbahasan Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14, di sini, pagi ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Ong Ah Teong yang meminta penjelasan berhubung peruntukan penyelenggaraan perumahan oleh Kerajaan Negeri bagi skim perumahan awam dan perumahan swasta yang layak di negeri ini.

Mengulas lanjut, Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat menjelaskan bahawa kerja-kerja penyelenggaraan bagi skim perumahan di bawah seliaan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pula adalah sebanyak 8,129 projek melibatkan peruntukan berjumlah RM22,012,050.79.

“Sebagai Kerajaan Negeri yang prihatin dan mengutamakan kepentingan rakyat, maka penyelenggaraan skim perumahan swasta juga terus diberikan bantuan dengan kos berjumlah RM32,015,256.08 melibatkan 370 projek yang diluluskan sehingga September lalu,” jelasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS