Anwar Ibrahim puji pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang, santuni semua pihak yang terkesan

GEORGE TOWN – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kagum dan memuji inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bukan sahaja mendahului dalam penetapan pakej insentif kepada rakyat, malah turut berusaha memastikan setiap aspek diambil kira dalam Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang sebanyak RM75 juta sebagaimana diumumkan pada 25 Mac lalu.

Anwar berkata, sumbangan dan pakej bantuan yang diumumkan tersebut menunjukkan keprihatinan sebenar pihak Kerajaan Negeri dalam menyantuni semua pihak yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19 sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dikuat kuasakan.

“Seperti di Selangor dan Pulau Pinang, disebabkan pengurusan (pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Harapan, PH) yang telah lama, maka masing-masingnya mempunyai keupayaan lebih.

“Tetapi, berbeza di Pulau Pinang… meskipun sering disergah serta diserang dengan isu-isu politik, tetapi pakej bantuan yang diumumkan ternyata mengambil peduli semua aspek seperti pemandu teksi, e-hailing yang majoritinya orang Melayu, wang zakat, bantuan kepada surau dan masjid yang tentunya melibatkan institusi Islam serta kebajikan pesakit COVID-19 tetap diberikan perhatian, dan ini menunjukkan keprihatinan sebenar pihak Kerajaan Negeri.

“Fakta-fakta (bantuan) ini ternyata bercanggah dengan tohmahan yang sering dilemparkan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, malah penarik beca serta pemandu pelancong yang disisihkan sebelum ini pun turut menerima perhatian,” ujarnya sambil mengucapkan rasa bangga beliau dengan keprihatinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Sebentar tadi, Anwar yang juga Ahli Parlimen (MP) Port Dickson mengadakan Sesi Interaksi Bersama-sama Menteri Besar Selangor, Negeri Sembilan dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow secara langsung kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

Kon Yeow sebelum itu memberitahu bahawa, Pulau Pinang menggunakan pendekatan 3C iaitu ‘Control’, ‘Communicate’ dan ‘Contain’ dalam menghadapi penularan wabak COVID-19 di peringkat negeri.

“Pada peringkat pertama, kita telah mulakan langkah awal dengan mengadakan pusat kawalan, membatalkan semua perhimpunan besar dan menempatkan kira-kira 5,000 kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membantu mobilisasi dengan agensi barisan hadapan lain.

“Malah, pengedaran pakaian perlindungan diri (PPE), pelitup muka, pensanitasi tangan telah mula diedarkan pada Fasa Pertama PKP dikuat kuasakan, dan kini (Fasa 3) isu bekalan alatan perlindungan diri bukan lagi menjadi isu besar kerana Kerajaan Negeri sendiri telah menempah bekalan ini pada peringkat awal dengan peruntukan RM10 juta, dan (menerima) sumbangan daripada pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Bagi mengerakkan komunikasi, Kerajaan Negeri giat memperkukuhkan Kempen Penang Lawan COVID-19 kerana kita sedar tanggungjawab terhadap kesihatan awam terletak di bahu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

“Selain laman web, Facebook, saluran telegram, talian hotline, Kerajaan Negeri juga telah memasang 150 papan iklan di seluruh Pulau Pinang, termasuk menyediakan video informatif dalam empat bahasa bagi mewujudkan kesedaran umum berhubung penjagaan kebersihan diri, jarak sosial serta sebagainya bagi mengawal penularan wabak COVID-19 oleh doktor perubatan jemputan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi strategi negeri bagi mengurangkan impak sosial dan ekonomi Pulau Pinang iaitu melalui pendigitalan ekonomi, pengukuhan sektor peralatan perubatan, kepelbagaian sektor elektrikal dan elektronik (E&E), mengembangkan sektor perkongsian perkhidmatan global serta memposisikan semula kedudukan negeri dalam anjakan bekalan sedunia

Sebagai respons, Anwar turut sependapat dengan Kon Yeow dalam usaha membangunkan kembali ekonomi selepas pasca COVID-19, dengan mengambil langkah memesatkan digitalisasi.

“Kerangka pemikiran baharu adalah pendekatan yang sangat sesuai dan tepat, ia adalah usaha memesatkan digitalisasi seperti Digital Penang yang ditubuhkan untuk memangkin peralihan tersebut,” ulasnya.

Pada sesi interaksi tersebut, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Datuk Seri Aminuddin Harun (Menteri Besar Negeri Sembilan) turut sama mengupas inisiatif pakej rangsangan dan langkah-langkah yang telah diambil di pentadbiran masing-masing bagi mencegah penularan wabak COVID-19 sekaligus membantu rakyat terbanyak yang terkesan daripadanya.

Secara umumnya, kedua-dua pentadbiran Kerajaan Negeri tersebut melalui pakej rangsangan ekonomi masing-masing turut memberi perhatian kepada aspek penjaja, sektor pertanian, penjawat awam, perumahan serta impak ekonomi.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALVIE CHENG
Video : ALISSALA THIAN