APEM 3.0 pemangkin usahawan Muslim tembusi pasaran global

Admin
2119f866 4b58 4880 b177 8b4226b146ec

SEBERANG JAYA – Agenda Pembangunan Ekonomi Muslim (APEM) 3.0 perlu menjadi titik tolak kepada usaha memperkukuh kapasiti usahawan Muslim di Pulau Pinang supaya mampu berkembang daripada perusahaan mikro kepada industri kecil dan sederhana (IKS) yang berdaya saing di peringkat nasional serta antarabangsa.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, kejayaan ekonomi bukan sekadar diukur melalui pertumbuhan dan pelaburan, tetapi turut dinilai berdasarkan peluang perniagaan, pekerjaan dan peningkatan pendapatan rakyat.

7e8f14bd 1d19 418e 915e 4d2039e04205
KETUA Menteri.

Menurut beliau, Pulau Pinang terus memainkan peranan penting sebagai antara pemacu ekonomi negara apabila merekodkan RM4.94 bilion pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan bagi suku pertama 2026.

“Daripada jumlah itu, RM3.4 bilion atau 70 peratus terdiri daripada pelaburan langsung asing (FDI) sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan pelabur terhadap kekuatan ekosistem industri Pulau Pinang.

“Namun, bagi Kerajaan Negeri, persoalan yang lebih penting ialah bagaimana kita memastikan limpahan daripada pertumbuhan dan pelaburan ini turut dirasai oleh perusahaan tempatan,” katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Penutupan APEM 3.0 anjuran Gabungan Liga Muslim Pulau Pinang di sini 15 Ogos 2026.

59eb68ea 3c50 4fb8 b445 80cf2d6243e5 59314df2 99c6 41ce 85ca 672794dc56d7 473e89c7 c3cf 491f 94db 9690bed7c0bf
Hadir sama, mantan Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Seri Abdul Halim Hussain; Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Dato’ Seri Haja Najmudeen Kader; Timbalan Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Dato’ Dr. Shahul Hameed Syed Mohamed; Presiden-Presiden serta Timbalan-Timbalan Persatuan dan barisan kepimpinan APEM.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa perusahaan mikro dan IKS perlu diberikan ruang untuk menjadi pembekal, vendor serta rakan industri yang mampu berkembang bersama syarikat-syarikat besar, selain menembusi pasaran yang lebih luas.

“Usahawan Muslim mempunyai potensi besar untuk memanfaatkan perkembangan industri halal merangkumi bidang teknologi, kualiti, pembungkusan, logistik, penjenamaan, pemasaran serta akses kepada pasaran antarabangsa.

“Malah, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), negara menyasarkan nilai eksport halal sebanyak RM80 bilion dan sumbangan 11 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Ini menunjukkan bahawa industri halal mempunyai potensi besar sebagai sektor ekonomi bernilai tinggi,” ujarnya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Mengulas mengenai pensijilan halal, Kon Yeow memberitahu bahawa konsep Dapur Sentral iTEKAD mampu membantu usahawan kecil dan perniagaan dari rumah mendapatkan akses kepada fasiliti serta proses pensijilan halal.

Tambah beliau, konsep berkenaan yang telah diperkenalkan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCER) di Pulau Pinang menunjukkan potensi untuk diperluaskan bagi memberi manfaat kepada lebih ramai usahawan mikro dan IKS.

“Kapasiti sedia ada masih terhad apabila setiap program hanya membolehkan sekitar tiga hingga empat peserta menggunakan kemudahan berkenaan dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

“Justeru, kita perlu melihat bagaimana konsep ini boleh diperluaskan supaya lebih ramai usahawan mikro dan IKS mendapat akses kepada pasaran yang lebih besar termasuk pasaran antarabangsa.

“Penggunaan teknologi dan pensijilan halal boleh menjadi pemangkin kepada usaha mengantarabangsakan produk ‘street food’ di Pulau Pinang, termasuk melalui sokongan agensi seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dalam membuka akses ke pasaran antarabangsa,” ulasnya lanjut.

Dalam usaha sama, selain kemudahan pengeluaran, Kon Yeow berkata, usahawan juga memerlukan sokongan dalam aspek seperti pembungkusan, penjenamaan, peningkatan kemahiran operasi serta khidmat nasihat daripada agensi kerajaan bagi membantu produk mereka lebih bersedia untuk menembusi pasaran yang lebih luas.

5d8182b8 c621 48eb 8cb1 32951149d5e6 52809b86 6a9d 4795 8da7 098eef03f198 72943b6f b40c 4cb0 a8f9 6b9717cf16fb 861f1fa4 7a23 412f bc78 40de11265ad3
Pada masa sama, beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri bersedia meneruskan kerjasama dengan Gabungan Liga Muslim Pulau Pinang dan APEM dalam bidang strategik termasuk pendigitalan, industri halal dan pengantarabangsaan IKS.

“Kita mahu kerjasama ini menghasilkan pencapaian yang nyata iaitu lebih banyak usahawan dipadankan dengan industri, lebih banyak produk mendapat akses pasaran dan lebih banyak perusahaan tempatan mampu berkembang ke peringkat nasional serta antarabangsa.

“Pada kesempatan ini, saya ingin menyeru lebih ramai usahawan Pulau Pinang memperkukuh tadbir urus, menggunakan teknologi, membina jenama, meningkatkan kualiti serta berani menembusi pasaran nasional, Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan global.

“Justeru, marilah kita menjadikan APEM 3.0 sebagai titik tolak kepada pembangunan ekonomi yang lebih tersusun, inklusif dan berorientasikan hasil,” serunya.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT

Video : SIEW CHIA EN