AppSejahtera mudahkan daftar, semak status pemohon

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SHUM JIAN-WEI

GEORGE TOWN – Dengan memuat turun Aplikasi i-Sejahtera (AppSejahtera) dalam telefon pintar, rakyat Pulau Pinang boleh mendaftar serta menyemak status permohonan sumbangan pelbagai ‘Program Emas’ membabitkan warga emas, ibu tunggal, bayi baru lahir, pelajar dan orang kurang upaya (OKU) masing-masing secara mudah dan cepat.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berharap, pelancaran aplikasi pintar atas talian pada 25 Jun lalu dapat melicinkan proses perkhidmatan melibatkan skim i-Sejahtera yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang hari ini.

“Aplikasi itu bakal disertakan dengan kod QR yang mana ianya hanya perlu diimbas (sahaja) oleh petugas-petugas pejabat daerah ketika menguruskan pembayaran skim insentif yang diterima.

“Kaedah lama yang kita gunakan sedikit lambat dan saya faham adakalanya petugas sendiri sampai sakit mata apabila terpaksa berdepan borang yang terlalu banyak,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu.

Boon Poh berkata demikian ketika merasmikan pembukaan kaunter i-Sejahtera di Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Timur Laut (DTL) dekat Tingkat 51, Komtar di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah DTL, Jusni Ismail dan Ketua Penolong Pegawai Daerah, Nurshamshinaz Shamsuddin. Tambah Boon Poh, pelaksanaan sistem atas talian itu diharap dapat menjimatkan kos operasi sehingga RM300,000.

Beliau dalam pada itu turut memuji inisiatif Pejabat Daerah DTL sambil menyifatkan usaha tersebut merupakan satu penarafan sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada pelanggan di negeri ini.

“Sistem seperti ini, saya lihat lebih memudahkan dan dekat kepada rakyat sehingga akar umbi.

“Saya juga menaruh harapan agar kaunter seperti ini dapat diperluaskan lagi di semua pejabat daerah seluruh negeri,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Booh Poh memberitahu, pelbagai program kebajikan langsung untuk rakyat berjaya dilaksanakan sejak tahun 2008 ekoran tadbir urus kewangan Kerajaan Negeri secara bersih serta saban tahun direkodkan ada lebihan kewangan.

Sejak tahun 2009, Kerajaan Negeri hari ini melalui beberapa ‘Program Emas’ sejak tahun 2009 direkodkan menyumbang kira-kira RM184 juta (RM184,314,000.00) langsung kepada pelbagai golongan rakyat di negeri ini.

}