APUF-7 releven, bincang isu bandaraya serantau sehingga tahun 2030 – Kon Yeow

BAYAN LEPAS – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menganggap Asia Pacific Urban Forum ke-7 (APUF-7) telah membawa Pulau Pinang bersama-sama negara-negara serantau membincangkan isu-isu releven berhubung kelestarian bandar dan alam semula jadi sehingga tahun 2030.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) komited untuk melaksanakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang digariskan serta dideklarasikan dalam persidangan serantau pada kali ini.

Kata Kon Yeow, isu-isu yang dibincangkan dalam forum tersebut, turut menjadi tumpuan dalam Penang2030 iaitu gagasan pembangunan jangka panjang dan masa depan negeri bagi tempoh 11 tahun akan datang.

“APUF 7 telah membawa kita bersama, untuk saling bekerjasama, berganding bahu dan menjana peluang untuk mewujudkan keadaan yang lebih mampan di bandaraya, juga di negara masing-masing.

“Forum ini telah menyediakan kepada negara-negara serantau Asia Pasifik, (iaitu) platform bagi menghimpunkan pelbagai pandangan, untuk dibincangkan demi masa depan rantau ini.

“Sebagaimana SDG ini (untuk tempoh 10 tahun mulai 2020 sehingga 2030), Pulau Pinang juga mempunyai komitmen serta agenda yang serupa sehingga tahun 2030.

“Pertemuan meja bulan di peringkat tertinggi…saling berkongsi apakah rekod pembangunan mampan yang telahpun berjaya dibuat, untuk dilaksanakan di bandaraya yang lain dekat rantau ini,” ucapnya pada Majlis Perasmian Penutup APUF-7 di Pusat Konvensyen SPICE di sini pada 17 Oktober 2019.

Sebelum itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menegaskan peri penting merealisasikan SDG melalui pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT) di tanah air ini dalam tempoh 10 tahun mulai 2020.

“Alhamdulillah, pelbagai maklum balas telah kita dapat melalui penganjuran forum dengan penglibatan 600 juru cakap, dan 6,000 penyertaan.

“Kita (APUF-7) telahpun membuat beberapa rumusan, dan rumusan-rumusan ini akan dibuat sebagai pelan tindakan kepada negeri-negeri yang datang terutama peringkat PBT.

“Dalam ucapan, saya tekankan tiada guna kalau ada banyak deklarasi polisi dan sebagainya, sekiranya di peringkat akar umbi (PBT) itu sendiri tiada kemampuan untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti ke arah mencapai kelestarian (bandar).

“Tidak mengapa kalau tidak boleh mencapai kesemua 17 SDG tapi kalau boleh capai sebahagian daripada (matlamat yang digariskan) adalah memadai.

“SDG ini mesti dilaksanakan sebelum tahun 2030, kita tidak mahu berlalu 2030, kita buat (SDG sehingga tahun) 2040 pula, kita mesti berusaha melaksanakannya,” serunya.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Ar. Yew Tung Seang; Pengarah Eksekutif UN-Habitat, Datuk Seri Maimunah Mohd. Sharif; Pengarah Bahagian Pembangunan dan Alam Sekitar bagi UN Economic and Social Commission for Asia-Pacific (ESCAP), Dr. Stefanos Fotiou; Timbalan Ketua Setiausaha (Bahagian Kesejahteraan Bandar) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Azhar Ahmad turut sertai acara penutup tersebut.

17 SDG yang dibincangkan dalam APUF-7 pada kali ini, secara umum adalah :-

  • Menamatkan Kemiskinan Dalam Semua Bentuk.
  • Akhiri kelaparan, Mencapai Keselamatan Makanan dan Meningkatkan Nutrisi dan Mempromosikan Pertanian yang Mampan.
  • Memastikan Kehidupan yang Sihat dan Menggalakkan Kesejahteraan untuk Semua.
  • Memastikan Pendidikan Berkualiti Inklusif dan Saksama dan Menggalakkan Peluang Pembelajaran Sepanjang Hayat untuk Semua Tindakan PBT.
  • Mencapai Kesaksamaan Gender dan Memperkasakan Wanita dan Kanak-kanak Perempuan.
  • Memastikan Ketersediaan dan Pengurusan Air dan Sanitasi yang Mampan.
  • Memastikan Akses kepada Tenaga yang Mampu Dimiliki, Mampan dan Moden untuk Semua.
  • Menggalakkan Pertumbuhan Ekonomi Mampan, Inklusif, Gunatenaga Penuh, Produktif dan Kerja yang Bersesuaian untuk Semua.
  • Membina Infrastruktur Berdaya Tahan, Menggalakkan Perindustrian Inklusif, Mampan dan Inovasi.
  • Mengurangkan Ketidaksamaan Kawasan Tindakan PBT.
  • Menjadikan Bandar dan Penempatan Manusia Inklusif, Selamat, Berdaya Tahan dan Mampan.
  • Memastikan Penggunaan dan Corak Pengeluaran Mampan.
  • Mengambil Tindakan Segera untuk Memerangi Perubahan Iklim dan Kesan-kesannya.
  • Memulihara dan Memelihara Pantai dan serta Sumber Marin bagi Pembangunan Mampan.
  • Melindungi, Memulihkan dan Menggalakkan Penggunaan Mampan Ekosistem Daratan dan Menghentikan Kemusnahan Tanah danserta Kepelbagaian Biodiversiti.
  • Menggalakkan Masyarakat Aman dan Inklusif untuk Pembangunan Mampan untuk Semua.
  • Mengukuhkan Kaedah Pelaksanaan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI