Arca kapal angkasa diharap tarik pengunjung

Admin

SUNGAI PINANG – Tidak lengkap mana-mana kawasan perumahan tanpa sebuah taman kejiranan yang mempunyai fasiliti lengkap untuk penduduk beriadah.

Justeru Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim dan syarikat Sculpture Environment Art Sdn. Bhd. (S.E.A) mengambil inisiatif khas dan berkolaborasi mewujudkan sebuah seni arca di Taman Areca di sini.

Jian Wei (kiri) bersama-sama Siew Khim (kanan)

Menurut Siew Khim, syarikat S.E.A sememangnya sedang mencari lokasi yang strategik di kawasan Sungai Pinang untuk mendirikan karya popular mereka (S.E.A) iaitu patung berbentuk arca.

“Memandangkan sebelum ini taman tersebut hanya sebuah kawasan lapang, konsep kapsul angkasa lepas amat bersesuaian dan kerana itu arca tersebut diletakkan di sini (Taman Areca), dan dalam masa sama dapat menambahkan lagi tarikan pengunjung di kawasan ini.

“Slogan ‘Our Kampung Our Pride’ yang dipegang oleh angkasawan tersebut diinspirasikan saya sendiri, di mana kita semua merupakan orang kampung terutamanya di kawasan Sungai Pinang, yang menekankan sifat perpaduan serta tanggungjawab untuk menjaga taman kejiranan ini seperti kampung sendiri.

“Projek ini berkemungkinan akan siap menjelang bulan Julai tahun ini jika tiada sebarang halangan,” ujarnya sambil berharap para penduduk dan orang awam mengguna dan menjaga taman awam tersebut sebaiknya.

Hadir sama, Pengarah Pemasaran S.E.A, Shum Jian Wei, 30.

Jian Wei memaklumkan bahawa terdapat pereka dalaman yang bekerja keras menghasilkan produk ini dan proses pemasangan mengambil masa kira-kira tiga ke empat bulan.

Produk GreenCr3ature karya pereka dalaman

“Antara produk yang diusahakan ialah GreenCr3ature yang terdapat di bahagian belakang kapsul angkasa, di mana produk tersebut diilhamkan oleh patung singa yang menjaga kuil untuk melawan roh-roh jahat untuk tujuan kebaikan,” tambah Jian Wei.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : CHAN KOK KUAN