Argentina atau Perancis, mana satu pilihan anda?

Kredit foto Majlis Bandaraya Pulau Pinang
KEJOHANAN Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar bakal melabuhkan tirai pada 18 Disember ini dan juara akan ditentukan antara gergasi Amerika Selatan, Argentina dan juara dunia tahun 2018, Perancis.
Pertembungan ini pastinya menarik memandangkan sejak dari peringkat awal pertandingan, peminat bola sepak seluruh dunia disajikan dengan pelbagai keputusan yang mengejutkan.
Perhitungan antara Argentina dan Perancis pastinya tertumpu kepada ayam tambatan bagi pasukan masing-masing iaitu Lionel Messi dan Kylian Mbappe.
Buletin Mutiara menerusi penulis, WATAWA NATAF ZULKIFLI sempat membuat temu bual ringkas tentang ramalan orang ramai mengenai siapakah yang bakal menjulang piala kejohanan bola sepak paling berprestij itu.
Wartawan penyiaran sukan Radio Televisyen Malaysia (RTM), ZACHKI AHMAD SURI memilih Argentina selepas pasukan itu menampilkan aksi yang meyakinkan ketika membenam Croatia.
“Lawan Argentina pada separuh akhir baru-baru ini adalah Croatia yang tampil garang mengejutkan pasukan pilihan, Brazil… jadi kehebatan Argentina tidak boleh disangkal lagi,” ujarnya kepada Buletin Mutiara.
Seorang lagi wartawan sukan Harian Metro, SYAZWAN AFFENDI pula memilih Perancis sebagai juara Piala Dunia kali ini sekli gus mengulangi kejayaan mereka pada tahun 2018.
“Perancis dilihat mempunyai pasukan yang lebih lengkap di semua posisi yang mana Argentina tidak memiliki kelebihan dari aspek tersebut.
“Ditambah pula dengan kehebatan Kylian Mbappe, saya rasa Argentina bukanlah satu masalah besar buat Perancis,” jelasnya sambil meramalkan kemenangan 2-0 kepada pasukan yang turut digelar Les Blues itu.
Berlainan pula reaksi dilontarkan oleh kakitangan awam, HIDAYAT HAMID yang merasakan Argentina lebih lengkap di setiap posisi dibantu pula dengan serangan yang hebat.
“Aura kapten pasukan, Lionel Messi masih berbisa jika dilihat kepada corak permainannya dalam Piala Dunia kali ini.
“Tetapi cabaran Perancis memang adalah hebat, saya percaya kedua-dua pasukan akan menampilkan permainan menarik pada 18 Disember ini,” ulasnya.
Sementara itu, bekas pemain USM F.C, ADAM ABDUL MALIK meramalkan Argentina mampu menjulang Piala Dunia pada kejohanan kali ini.
“Kelincahan Lionel Messi masih menjadi perhatian dan mampu menggagalkan Perancis untuk memenangi trofi terunggul bola sepak ini buat kali kedua.
“Kemenangan ini akan melengkapkan koleksi Argentina yang turut memenangi Piala Copa America (piala benua Amerika Selatan) tahun lalu,” maklumnya sambil meluahkan kekecewaan setelah pasukan pilihannya, Brazil tewas di peringkat suku akhir.
Dalam reaksi terakhir, SHAHRUL HEZWAD HASSAN meramalkan Argentina bakal menamatkan penantian memenangi Piala Dunia selama 36 tahun.
“Walaupun diaibkan Arab Saudi pada peringkat kumpulan, namun Argentina menjadikan kekalahan tersebut sebagai titik tolak kebangkitan sehingga layak ke peringkat akhir kejohanan.
“Permainan mereka meningkat dalam setiap perlawanan, selepas kali terakhir memenangi Piala Dunia pada tahun 1986, ini adalah masa terbaik untuk mereka menang kembali, tambahan pula ini mungkin penampilan terakhir bagi Lionel Messi,” katanya.
Bersempena perlawanan akhir itu, pada jam 10 malam Kerajaan Negeri juga mengambil inisiatif menayangkan perlawanan akhir tersebut melalui skrin gergasi di Padang Kota.
Pelbagai aktiviti menarik juga bakal disajikan kepada peminat-peminat yang hadir bagi memeriahkan suasana.