Ashley Westwood, ketua jurulatih pasukan Pulau Pinang

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

GEORGE TOWN – Ashley Westwood, iaitu bekas Ketua Jurulatih sebuah kelab dari negara India, Bengaluru FC secara rasminya dilantik sebagai Ketua Jurulatih Pulau Pinang FA (FAP), bagi mengharungi Liga Super Musim 2017.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari yang baru dilantik sebagai Pengurus Pasukan Pulau Pinang FA pada awal November lalu mengumumkan pelantikan Westwood pada 28 November lalu.

“Selepas kita mengambil masa untuk berunding, beliau turut dijemput melawat ke Pulau Pinang… setelah semua terma dan syarat dipersetujui, kita (FAP) mengambil keputusan menawarkan kontrak kepada Ashley (Westwood) selama dua tahun.

“Antara sebab-sebab beliau (Westwood) dipilih adalah kerana kecemerlangan beliau sebagai seorang pemain dan jurulatih.

“Beliau sebelum ini berjaya membawa Bengaluru FC memasuki menjuarai I – League (Liga India), peringkat suku akhir dalam kejohanan Piala AFC (kejohanan tertinggi kelab-kelab Asia),” ujarnya dalam sidang media di sini.

Hadir sama, Presiden FAP, Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff dan barisan kakitangan pengurusan FAP.

Selain itu, Zairil turut memberi respons kepada kritikan netizen yang banyak mempertikaikan kredibiliti beliau sebagai pengurus pasukan yang baharu.

“Saya boleh katakan hampir semua kritikan yang tersebar dalam media sosial adalah tidak betul.

“Dalam FAP, keputusan dibuat secara bersama dari atas hingga bawah, kita juga ada individu-individu profesional yang terlibat dalam bola sepak, bahkan Presiden FAP juga sebenarnya tiada pengalaman dalam bola sepak,” jelasnya.

Difahamkan, Zairi sebelum ini dikritik hebat kerana beliau dikatakan tidak memiliki sebarang pengalaman dalam bola sepak.

Malah, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sendiri mengumumkan bahawa FAP tidak akan dipimpin oleh ahli politik, seperti era Kerajaan Negeri terdahulu.

“Sebenarnya saya sudah ditawarkan sebanyak tiga kali, tetapi saya berasa kurang bersedia untuk memegang sebarang jawatan dalam FAP.

“Kali ini, saya menerima dan akan berganding bahu dengan semua pihak untuk lakukan yang terbaik dalam Pasukan Pulau Pinang.

“Saya ditugaskan untuk menjaga pengurusan, bukan dari segi aspek teknikal, kita (FAP) ada pasukan sendiri untuk setiap bidang,” ujarnya.

Ashley yang ditemui kemudian menyatakan bahawa beliau berjanji akan berusaha menaikkan semula mutu permainan pasukan bola sepak negeri.

“Saya berbesar hati dapat membimbing pasukan Pulau Pinang yang mempunyai sejarah yang hebat dan pernah lalui zaman kegemilangan.

“Saya akan cuba menerapkan sistem baharu dalam bola sepak sebagai usaha menaikkan mutu bola sepak di sini,” katanya.

Berusia 40 tahun, Westwood yang berasal dari Manchester, England dan pernah bermain dengan kelab-kelab ternama seperti Manchester United, Sheffield Wednesday dan Bradford City.

Setelah bersara, beliau pernah menjadi Penolong Jurulatih di Blackburn Rovers, sebelum ke India sebagai Ketua Jurulatih di Bengaluru FC.d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);