Ashwin yakin pelan strategik tiga tahun PCEB kuatkan daya tahan industri pelancongan negeri

ASHWIN Gunasekeran

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow baru melancarkan Pelan Induk Pelancongan Pulau Pinang pada 12 September 2020, dengan mengambil kira realiti penularan wabak COVID-19 yang memaksa pintu masuk antarabangsa ke negeri ini masih ditutup.

Justeru, Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu meminta Exco Pelancongan & Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin serta agensi negeri, Biro Konvensyen & Pameran Pulau Pinang (PCEB) menerusi pelan induk tersebut memberi tumpuan kepada usaha-usaha agresif dalam membawa seramai mungkin pelancong domestik ke Pulau Pinang.

Buletin Mutiara berpeluang mewawancara Ketua Pegawai Eksekutif PCEB, Ashwin Gunasekeran di pejabatnya di tingkat satu, The Whiteaways Arcade dekat Lebuh Acheh.

Masuk ke pejabat PCEB dekat bangunan warisan tersebut, kelihatan beberapa kakitangan sedang sibuk mengemas kini jadual acara semasa pada papan putih di satu sudut pejabat.

Menurut Ashwin, lazimnya jadual acara persidangan dan pameran baik peringkat antarabangsa ataupun domestik ke Pulau Pinang, disusun atur dua atau tiga tahun lebih awal.

Jadi, menurutnya lagi, pandemik COVID-19 yang melanda dunia dan negara sejak bulan Disember 2019 adalah benar-benar di luar jangkaan semua.

“Sebagaimana saranan Ketua Menteri dan Exco, apa yang boleh dibuat mulai tahun hadapan (2021) adalah memastikan semua para pemegang taruh dalam industri pelancongan negeri ini untuk terus kekal bersama kita untuk tiga tahun ini (2021 hingga 2023).

“Kita (PCEB) mengemas kini garis panduan penganjuran acara persidangan dan pameran di negeri ini berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Negeri dan (Kerajaan Persekutuan).

“Paling penting, semasa negara masih belum bebas sepenuhnya daripada pandemik COVID-19 ini, keyakinan para pemegang taruh kita terhadap industri pelancongan, persidangan dan pameran, serta perhotelan di Pulau Pinang mesti terus diperkukuh.

“Paling penting juga adalah memperkukuhkan keyakinan semula semua pihak berdasarkan garis panduan yang kita buat, (aspek keyakinan) ini adalah elemen yang begitu kuat ada pada negeri Pulau Pinang,” jelasnya lagi kepada wartawan ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar DARWINA MOHD. DAUD di sini pada 6 November 2020.

Demi mengukuhkan keyakinan rakan strategik PCEB pula, menurut Ashwin, baru-baru ini ditubuhkan satu badan bertindak khas bagi mengemas kini lagi garis panduan penganjuran acara persidangan dan pameran di negeri ini.

“Seramai 39 anggota daripada pelbagai latar belakang menganggotai badan bertindak ini.

“Mereka mewakili 6 sektor utama berkaitan industri pelancongan negeri (iaitu) perhotelan, pusat persidangan, acara unik persendirian, penganjuran pameran dan persidangan, perniagaan dan satu lagi adalah ejen pelancongan dan pengangkutan pelancongan,” jelasnya lagi.

Selain itu, beliau turut berkongsi cerita mengenai cabaran yang sedang didepani oleh PCEB dalam meremajakan lagi kerencaman industri pelancongan semasa pandemik, kini.

“Kalender acara persidangan dan pameran negeri pada tahun ini (2020) sendiri sepatutnya begitu padat, dengan 65 acara yang pelbagai telahpun diaturkan.

“Apabila berlakunya COVID-19, ada acara berjaya ditangguhkan sahaja (tanpa ditetapkan tarikh atau dibatalkan terus), ataupun diaturkan semula ke tahun depan (2021).

“Dengan pelbagai kekangan dan cabaran, tetapi terus disokong oleh Kerajaan Negeri, akhirnya kita (PCEB) dapat mengatur semula serta menangguhkan kira-kira 50 acara, sementara 15 lagi moga-moga tidak dibatalkan.

“Pada tahun hadapan (2021) juga, jadual penganjuran acara persidangan dan pameran ke negeri ini agak padat, namun, kita (PCEB) tidak tahu lagi bagaimana (sama ada pandemik COVID-19 akan berakhir atau sebaliknya).

“Sama ada acara yang telahpun diaturkan dalam kalender PCEB bagi tahun 2021 ini turut ditangguhkan atau diubah ke model penganjuran yang baharu seperti persidangan secara maya dan lain-lain, kita (PCEB) sedang berusaha ke arah itu,” jelasnya.

Beliau memberitahu bahawa 35 peratus acara yang telahpun disusun sebelum ini berjaya diubah pada corak persidangan secara maya, sementara 45 peratus acara lain masih dalam proses susunan semula tarikh dalam kalender PCEB terbaru.

Sehingga kini, Ashwin memberitahu PCEB sedang giat melaksanakan tiga strategi untuk meremajakan lagi industri pelancongan negeri.

Pelan Strategik Pertama, beliau memberitahu Kerajaan Negeri melalui PCEB akan terus mempergiatkan kolaborasi dengan rakan negara strategik yang telah sedia ada, dari Jepun, Republik Rakyat China, Thailand dan India.

“Semasa pandemik COVID-19 ini, kita (PCEB) tidak lagi saling bersaing dengan mana-mana pihak, sebaliknya saling kolaborasi sesama kita…dengan mengambil kira pintu masuk antarabangsa ke negara ini juga masih tidak dibuka (untuk pelancong asing).

Pelan Strategik Kedua, menurut Ashwin, PCEB cuba mempopularkan elemen pendigitalan yang sedang giat dilaksanakan di Pulau Pinang.

“Ketika ini, apabila penganjuran acara persidangan dan pameran secara fizikal begitu terbatas, kita (PCEB) harap Pulau Pinang ada prasarana dan kelengkapan untuk penganjuran acara secara maya, penggunaan elemen pendigitalan seperti telesidang dan sebagainya.

“Paling saya khuatir adalah capaian jalur lebar di hotel-hotel dekat negeri ini tidak seluas di negara-negara maju seperti Jepun, (Republik Rakyat) China jika penganjuran telesidang diadakan pada peringkat antarabangsa.

“Justeru, kita (PCEB) sangat mengharapkan usaha meningkatkan capaian jalur lebar di negeri ini oleh syarikat-syarikat telekomunikasi dipercepatkan, kerana elemen pendigitalan sangat penting dalam meremajakan lagi industri pelancongan negeri.

“Selain aspek kelengkapan pendigitalan yang diperlukan dalam penganjuran acara, aspek kos juga adalah seperkara lagi yang diteliti oleh rakan-rakan strategik untuk menerusikan acara di negeri ini sekarang.

“Ramai anggap kos persidangan secara maya adalah lebih murah berbanding persidangan secara fizikal (kerana perwakilan tidak perlu berbelanja lebih untuk berkunjung ke Pulau Pinang), sebenarnya tidak sebegitu,” jelas beliau sambil berharap pihak berkaitan menawarkan tajaan untuk kelangsungan penganjuran acara dan pameran maya di Pulau Pinang.

Pelan Strategik Ketiga dan terakhir, menurutnya lagi, adalah PCEB menjadi ejen penganjuran acara bersama untuk menggalakkan rakan strategik domestik dalam kalangan institusi perbankan, firma insurans dan syarikat korporat memilih Pulau Pinang.

“Kalau acara melibatkan penyertaan 30 orang dan ke atas, kita (PCEB) akan menawarkan skim sokongan dan insentif seperti perkhidmatan pengangkutan dan pakej makanan, ia bergantung pada corak penganjuran bersama acara.

“Tumpuan kita (PCEB) adalah pelancong domestik dalam kalangan institusi kewangan, perbankan, firma insurans dan mesyuarat ahli lembaga pengarah syarikat serta (AGM) mesyuarat agung tahunan badan-badan berkaitan.

“Kebanyakan rakan strategik kita adalah dari Lembah Klang, Pulau Pinang dipilih sebagai destinasi penganjuran kerana akses jalan darat yang mudah,” jelasnya lagi.

Berdasarkan pelan strategik bagi tempoh tiga tahun sehingga 2023, Ashwin berkata PCEB yakin pelbagai cabaran yang melanda semasa ini akan menguatkan lagi daya tahan industri pelancongan negeri.

“Pilihan yang ada ketika ini sama ada penganjuran acara secara maya ataupun hibrid (iaitu gabungan penganjuran acara secara fizikal dan secara maya).

“Industri pelancongan secara realiti berkaitan bilangan pelancong ke negeri ini, penganjuran persidangan secara maya adalah pilihan sementara sahaja (semasa pandemik COVID-19).

“Industri pelancongan domestik, memang akan ada kekangan dan cabaran dari semasa ke semasa, tetapi saya yakin daya tahan industri yang sedang diremajakan ini akan terus kuat dan terus kuat,” jelasnya lagi.