Asing sisa, peniaga pasar malam Gat Lebuh Macallum positif

PENGKALAN KOTA – Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Wong Yuee Harng memberitahu bahawa kesedaran tentang Dasar Pengasingan Sisa Di Punca dalam kalangan para peniaga pasar malam Gat Lebuh Macallum berada pada tahap baik.

Perkara tersebut dinyatakan beliau ketika lawatan pada 11 September lalu bersama-sama kakitangan MBPP dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) setempat.

“Hari ini juga kita lakukan pemeriksaan dan dapati kesedaran tentang pelaksanaan dasar berkaitan adalah begitu tinggi dalam kalangan peniaga… ianya boleh dilihat di pusat pengumpulan yang kita sediakan untuk peniaga di sini.

“Selain itu, saya bersama-sama JKKK dan MBPP turut mengedarkan risalah berkenaan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca, cara-cara dan kebaikan pelaksanaannya,” katanya pada sesi turun padang berkaitan di sini baru-baru ini.

Tambah Yuee Harng, terdapat juga inisiatif daripada peniaga yang mengubah suai kenderaan perniagaan sebagai pusat kitar semula dan pengasingan sisa demi menjayakan pelaksanaannya.