Asnaf, ibu tunggal KADUN Sungai Acheh terima sumbangan sempena Ramadan

Admin
img 20240325 wa0053

SUNGAI ACHEH – Seramai 50 ibu tunggal dan golongan asnaf dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Acheh menerima sumbangan sempena bulan Ramadan tahun ini.

Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi Pertubuhan Wanita Mutiara (PWM) Pulau Pinang Puan Tan Lean Kee sempena Program Gotong-royong Bubur Lambuk dan Sumbangan Asnaf dekat Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh di sini sebentar tadi.

Turut mengiringi ialah Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan & Luar Bandar yang juga ADUN Sungai Acheh, Rashidi Zinol.

Hadir sama, isteri kepada ADUN Sungai Acheh, Jamiza Jamil; Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Khairulnizam Hashim; Ketua Polis Daerah SPS, Chong Boo Khim dan lain-lain.

 

 

img 20240325 wa0061

img 20240325 wa0069

img 20240325 wa0071

Semasa berucap, Lean Kee yang juga isteri kepada Ketua Menteri berkata PWM berusaha memberikan bantuan duit raya kepada ibu-ibu tunggal dan golongan kurang berkemampuan bagi mengurangkan beban perbelanjaan pada bulan Ramadan.

“Selain duit raya dan barangan keperluan asas, PWM juga menghadiahkan seunit mangkuk tingkat kepada setiap ibu tunggal sebagai inisiatif untuk mengurangkan penggunaan beg plastik dan menjaga alam sekitar.

“Menurut Pakar Toksikologi Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof. Dr. Mustafa Ali, ancaman senyap daripada penggunaan barangan plastik amat membimbangkan kerana kesannya kepada manusia hanya dapat dilihat selepas 40 tahun.

“Sebagai seorang wanita dan ibu, adalah tanggungjawab kita untuk bertindak sebagai ejen perubahan dengan berusaha mengubah gaya hidup ke arah kelestarian alam sekitar demi kesihatan diri serta keluarga.

“Saya percaya, jika kita berikhtiar lama-kelamaan ia akan menjadi tabiat biasa untuk menggunakan bekas makanan sendiri untuk membeli makanan,” katanya sambil memzahirkan penghargaan kepada semua yang terlibat menjayakan majlis tersebut.

Sementara itu, Rashidi mengucapkan terima kasih kepada PWM atas kesudian menyampaikan bantuan dan menyantuni ibu tunggal dan golongan asnaf di kawasan Sungai Acheh.

“Pada masa sama, saya juga mengalu-alukan sebarang sumbangan daripada pelbagai pihak untuk manfaat masyarakat memerlukan di kawasan ini,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR