Aspiring Seberang Perai Photography Awards kembali lagi!

SEBERANG JAYA – Aspiring Seberang Perai Photography (ASP) Awards kembali lagi pada tahun ini dengan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM19,400.

Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang menganjurkan program itu, dengan dua pihak lain iaitu Spirit Of Perai serta Think City Sdn. Bhd..

Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, penganjuran program tersebut bertujuan untuk memberi peluang kepada komuniti untuk berkarya melalui fotografi, selain menggalakkan aktiviti pelancongan di Seberang Perai.

“Walaupun MPSP bukan organisasi yang berorientasikan perniagaan tetapi kita tetap memberikan perhatian kepada sektor pelancongan sebagai salah satu usaha untuk menjadikan Seberang Perai sebagai bandar bersih dan hijau.

“Kedatangan pelancong akan meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk terus menjaga kebersihan di Seberang Perai selain mampu menjana pendapan bagi golongan B40 (golongan berpendapatan 40 peratus terendah),” ujarnya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh dekat Pejabat MPSP, di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap merangkap Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dr. Amar Pritpal Abdullah; Mustafa Kamal Ahmad (ADUN Teluk Ayer Tawar); Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq (ADUN Bertam); Jason H’ng Mooi Lye (ADUN Jawi); Ahli-Ahli Majlis bagi MPSP; Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod serta Ketua-Ketua Jabatan MPSP.

Sementara itu, Pengurus Besar Spirit Of Perai, LAr. Amos Ng menjelaskan bahawa ASP Awards 2019 adalah bertemakan My Seberang Perai Old Towns yang mana para peserta berpeluang menerokai pekan lama iaitu Pekan Nibong Tebal, Pekan Bukit Mertajam dan Pekan Kuala Batas.

Jelasnya, satu lagi kategori baru diperkenalkan pada penganjuran tahun ini iaitu Timelapse Living In Old Town selain empat kategori sedia ada.

“Lima kriteria akan dinilai terhadap setiap karya iaitu perpaksikan rakyat, budaya, seni bina, sosio dan ekonomi serta pemandangan malam,” ujarnya lagi.

Difahamkan, tarikh penyertaan bermula hari ini sehingga 14 Jun 2019.

Borang penyertaan dan maklumat lanjut berkaitan ASP Awards 2019 boleh di muat turun di laman sesawang http://www.mpsp.gov.my atau www.aspiring.photography.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS