Astaka baru Bukit Bendera bertaraf antarabangsa

Oleh: ZULIANA AZIZ 

PEMANDANGAN luar astaka baru Bukit Bendera.
PEMANDANGAN luar astaka baru Bukit Bendera.

GEORGE TOWN – Para pengunjung Bukit Bendera selepas ini boleh beriadah dengan lebih selesa apabila astaka baru yang kini dalam proses pembinaan dijangka mula beroperasi awal tahun hadapan.

Projek dijayakan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang dibina di lereng bukit berkonsepkan tropika mempunyai tiga tingkat dan 33 gerai keseluruhan boleh memuatkan kira-kira 400 pengunjung pada satu masa.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow, usaha ini juga selaras dalam menjadikan Bukit Bendera sebagai sebuah destinasi antarabangsa pilihan pelancong asing.

“Objektif astaka baru adalah untuk memberi satu persepsi baru, suasana berniaga yang inovatif, bersih dan teratur bagi penggerai menjalankan perniagaan.

Perubahan baru ini yang selaras dengan cara perniagaan baru akan dapat mendatangkan hasil pendapatan lumayan kepada peniaga,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa sesi berdialog bersama 25 pemilik gerai telah dijalankan bagi menjelaskan mengenai konsep astaka baru supaya tidak timbul kekeliruan kepada peniaga sekaligus mengelakkan sebarang masalah pada masa hadapan.

Sementara itu, bagi anak kepada seorang pemilik gerai makanan berkata, beliau dan keluarganya tiada masalah sama sekali dengan perpindahan ini.

“Saya tiada masalah untuk pindah masuk ke gerai baru. Saya dah cukup bersyukur kerana diberi peluang untuk berniaga di sini lagi,” ujarnya yang hanya mahu dikenai sebagai Kak Su, 27.

Sementara itu, bagi seorang pemilik gerai minuman yang dikenali sebagai Lily, 38, beliau juga tiada masalah dengan astaka baru jika pembahagian gerai diberi secara adil.