Astaka Lembah Permai akan dinaik taraf pada Ogos ini

Admin

TANJUNG BUNGA – Pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sudah menjalankan proses tender kepada kontraktor bagi kerja-kerja menaik taraf Astaka Lembah Permai di Tanjung Bunga pada bermula April lalu hingga bulan Jun depan.

 

 

Menurut Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari, projek bernilai lebih RM500,000 itu diharap dapat memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung ke astaka tersebut.

 

 

“Melalui projek naik taraf ini, beberapa skop kerja akan terlibat seperti pembinaan bumbung 15 hingga 20 meter berkeluasan 600 meter persegi termasuk akan buat lantai konkrit 420 meter persegi.

 

 

“Kos projek yang dianggarkan daripada RM500,000 hingga RM1 juta bergantung kepada tender dan tender telah dibuka sejak 10 April lalu hingga 12 Jun ini.

 

“Kita jangkakan projek boleh dimulakan pada Ogos 2023 dan siap pada Mac tahun 2024,” ujar Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga dalam lawatan tapak ke Astaka Lembah Permai di Lebuh Lembah Permai 1, Tanjung Bunga baru-baru ini.

 

 

 

Hadir sama Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Connie Tan Hooi Peng dan Ts. R. Kaliyappan.

 

Selain itu, difahamkan MBPP turut akan memperbaiki beberapa kerosakan lain di astaka tersebut seperti kebocoran dan lain-lain.

 

 

 

Hooi Peng pada sidang media sama memaklumkan pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama 14 pemilik gerai di astaka itu membabitkan perniagaan sementara apabila projek naik taraf dimulakan kelak.

 

 

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI