Astaka Tanjung Bungah bakal jadi kompleks makanan awam pertama lengkap GBI

Admin
KETUA Menteri (duduk, kiri) diiringi Zairil Khir Johari (duduk, kanan) menjelaskan kepada pemberita mengenai cadangan pembinaan semula Astaka Tanjung Bungah yang dijangka siap pada pertengah tahun 2020 di sini.

TANJUNG BUNGAH – Astaka Tanjung Bungah yang dimajukan semula serta dijangka siap pada pertengahan tahun 2022 mungkin merupakan kompleks makanan awam pertama negara yang dilengkapi elemen indeks bangunan hijau (GBI).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa sejumlah RM3.5 juta diperuntukkan bagi membina semula astaka tersebut dengan reka bentuk terkini demi menyerlahkan lagi daya tarikan dalam kalangan pengunjung tempatan serta asing ke sini.

“Saya memohon maaf andai berlaku kelewatan projek pembangunan semula astaka ini (yang disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tetapi, akhirnya Astaka Tanjung Bungah akan menjadi kemegahan untuk meneruskan perkhidmatan kepada penduduk serta pelancong di sekitar kawasan ini,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi dalam Majlis Pelancaran Projek Pembangunan Semula Astaka Tanjong Bungah di sini pada 27 November 2021.

ILUSTRASI wajah serta rekabentuk baharu Astaka Tanjung Bungah.

Menurut Kon Yeow, pentadbirannya boleh untuk membelanjakan kira-kira RM1 juta sahaja dengan hanya membaik pulih struktur astaka sedia ada yang hangus dijilat api sebelum ini, tetapi memilih untuk berbelanja lebih mengikut impian penduduk lokal yang mahukan astaka tersebut menjadi satu lagi tarikan pelancongan pada masa depan di sini.

Tambah beliau, projek pemajuan semula astaka tersebut akan dimulakan pada 1 Disember depan serta akan mengambil masa kira-kira enam bulan sebelum beroperasi semula.

Sebelum itu, Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari memberitahu bahawa reka bentuk astaka baharu turut akan dilengkapi kemudahan tambahan seperti surau, bilik pejabat serta fasiliti mesra orang kurang upaya (OKU).

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memberitahu bahawa Astaka Tanjung Bungah asalnya dimajukan oleh Kerajaan Persekutuan serta tidak diselenggara baik selama 30 tahun, sebelum diambil alih oleh Kerajaan Negeri pasca Pilihan Raya Umum Ke-14, Mei 2018.

Difahamkan, dalam reka bentuk baharu Astaka Tanjung Bungah bakal menyediakan 40 ruang gerai berbanding bilangan asal (33).

“Peniaga asal akan diberi keutamaan untuk penawaran gerai selepas projek disiapkan kelak,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin; ADUN Pulau Tikus, Lee Chun Kit; ADUN Air Itam, Ng Soon Siang; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Won Hon Wai; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri (CMI), S. Bharathi dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Pulau Pinang, Ir. Dr. A.G. Balamurugan antara pemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai acara tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR