GEORGE TOWN – Kejayaan cemerlang 11 atlet mengharumkan nama Pulau Pinang dalam kejohanan Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) pada Disember tahun lalu telah melayakkan mereka menerima Insentif Kemenangan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SKIMAS).
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa beliau kagum dengan semangat juang dan kegigihan semua atlet yang mewakili negeri Pulau Pinang pada kejohanan tersebut.
Sesungguhnya, semangat juang anda semua (atlet) amatlah dihargai, terima kasih kerana telah mengharumkan nama negeri.
“Kejayaan ini bukan hanya membanggakan negeri Pulau Pinang malahan turut memperkasa semangat kesukanan dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Ini adalah bukti bahawa dengan usaha dan komitmen yang utuh, tiada impian yang tidak boleh dicapai” ujarnya pada majlis penyampaian insentif di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Mozakir Buyong Mokhtar dan Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Negeri Pulau Pinang, Kung Tze Zern serta pengiring.
Sebagai Ketua Menteri, Kon Yeow menyatakan bahawa beliau amat berbangga apabila Pulau Pinang berjaya melahirkan ramai atlet yang mampu bersaing pada peringkat kebangsaan dan membawa pulang kejayaan.
Ini adalah pencapaian yang patut kita semua banggakan. Tahniah kepada semua atlet yang telah mengharumkan nama negeri Pulau Pinang di pentas SOPMA.
“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk mencapai lebih banyak kecemerlangan pada masa akan datang,” jelasnya.
Terdahulu, Kon Yeow mengumumkan bahawa jumlah insentif yang diterima oleh 11 atlet itu adalah RM32,600 sambil menyifatkan ia sebagai penghargaan atas kejayaan mengharumkan nama Pulau Pinang.
Sementara itu, Zi Sen menyatakan bahawa kejayaan yang dirangkul oleh para atlet istimewa berkaitan adalah hasil usahasama, azam, tekad dan semangat kesukanan yang tinggi.
“Acara sukan ini bukanlah semata-mata peraduan fizikal tetapi lebih daripada itu, ia memupuk kekuatan fizikal dan kecekalan mental.
Bagi pihak Kerajaan Negeri pastinya kita akan memfokuskan penyediaan dan pembangunan bakat sukan melalui pelbagai program pengukuhan.
“Tidak hanya itu, infrastruktur sukan berkualiti yang disediakan juga perlu mesra orang kurang upaya (OKU) dan berkeperluan khas supaya dapat melahirkan atlet yang mampu menyertai persaingan pada peringkat antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Nurdamia Mohamad Yusof, 14, ketika ditemui berasa gembira dan berbangga dengan pencapaiannya pada kejohanan SOPMA Ke-21 di Kuala Lumpur tahun lalu.
Anak kedua daripada dua adik-beradik itu menjalankan latihan setiap petang selepas waktu persekolahan sejak tiga tahun lepas.
Adakala latihan dijalankan bersama-sama jurulatih dan kadang-kadang (berlatih) sendiri.
“Sasaran seterusnya adalah untuk menyertai kejohanan SOPMA Ke-22 di Sarawak pada 2025 nanti,” katanya yang berjaya merangkul pingat emas bagi acara larian 800 meter (m) kategori wanita serta satu pingat perak dan dua gangsa masing-masing bagi acara larian 400m, 1,500m dan 4x400m (berpasukan).
Nurdamia yang membawa pulang insentif tunai berjumlah RM8,700 berhasrat untuk memberinya kepada ibu bapa.
Bagi Nurul Husna Mohamad Jamal, 19, yang membawa pulang insentif tunai berjumlah RM7,200 selepas berjaya menempa pingat emas bagi acara larian 1,500m serta pingat perak (larian 800m) dan gangsa (larian 4x400m) pada kejohanan itu turut berbangga dengan pencapaiannya sehingga kini.
Sememangnya saya meletakkan sasaran untuk podium setiap kali menyertai mana-mana kejohanan, sejak sekolah lagi.
“Lagipun, saya bercita-cita untuk menjadi atlet olahraga suatu hari nanti,” ulas anak kelima daripada enam adik beradik itu.
Nurul Husna yang ditemani ibu, Norhayati Chik dan bapa, Mohamad Jamal Abdul Manaf turut menjalankan latihan setiap hari selepas waktu bekerja bagi mengekalkan stamina.
Bagi atlet badminton, Dymphna Simon, 21, penyertaan pertama kali pada kejohanan SOPMA itu membawa tuah kepadanya. Manakan tidaknya, beliau berjaya merangkul dua pingat emas bagi acara badminton perseorangan dan beregu wanita.
Mula berkecimpung dalam sukan badminton sejak berumur 10 tahun, anak kelahiran Sabah yang berkelana ke Pulau Pinang kerana tuntutan kerja juga tidak melepaskan peluang menyertai kejohanan SOPMA di Sarawak nanti.
Sesi latihan hanya dapat dilakukan setiap hujung minggu sahaja kerana bekerja.
“Sangat gembira apabila pertama kali menyertai kejohanan ini dalam acara beregu wanita dan menang emas,” ujarnya yang pernah mewakili Malaysia dalam kejohanan badminton peringkat Asia Pasifik suatu ketika dahulu.
Kawan baik yang juga rakan beregu Dymphna iaitu Bibiana Mourus, 21, turut gembira dan berkongsi cerita mengenai persahabatan mereka.
“Kami berkawan sejak di bangku sekolah rendah lagi ketika di Sabah dan mempunyai minat yang sama iaitu bermain badminton.
“Malah, kami juga sama-sama bekerja di tempat yang sama di salah sebuah kilang di Bayan Lepas sebagai operator pengeluaran.
“Kebiasaannya, apabila berlatih pada hari Sabtu dan Ahad, kami memang berlatih seharian dan sasaran seterusnya adalah kejohanan di Sarawak nanti,” jelasnya yang membawa pulang pingat emas bagi acara badminton beregu wanita dan pingat gangsa bagi beregu campuran.
Tujuh atlet lain yang membawa pulang pingat gangsa ialah Aidil Iqqram Safry, 17 (larian 1,500m dan 4x400m); Nurul Alieya Shafiena Abdul Halim, 17; Evonne Cheah Loke En Xin,14; Iyad Muhaimin Irrwardy Irwan, 16; Muhammad Alif Asyraf Mohd. Rashid, 16 dan Muhammad Salihin Muhammad Junaiddin, 18, semuanya bagi acara larian 4x400m. Manakala Tan Yoong Hoong, 30 bagi acara badminton beregu campuran.
Pemenang pingat emas menerima RM4,000 bagi acara individu dan RM2,000 bagi acara berkumpulan. Manakala bagi pemenang pingat perak menerima RM2,500 (individu) dan pingat gangsa RM700 bagi acara olahraga dan serta RM750 (badminton).
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR