Atlet negeri berjaya bawa pulang pingat kejohanan terima RM81,200 SKIMAS

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyerahkan replika cek Skim Insentif Kemenangan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SKIMAS) berjumlah RM81,200 kepada atlet-atlet negeri yang berjaya merangkul pingat dalam Sukan Asia Ke-18 Jakarta – Palembang 2018 dan Sukan Para Asia Jakarta 2018.

Bercakap kepada pemberitahu, beliau berharap insentif wang tersebut dapat membakar semangat para atlet Pulau Pinang untuk memburu lebih banyak lagi pingat kejohanan, sekaligus mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Saya berharap kejayaan ini akan menjadi titik permulaan kepada kita semua untuk terus mengorak langkah serta mencipta kemenangan yang lebih besar pada masa hadapan dan seterusnya menjadi pemangkin pada atlet-atlet untuk sama-sama memajukan pembangunan sukan negeri ini ke landasan yang lebih tinggi,” jelas Kon Yeow di Komtar pada 12 Disember 2018.

Exco Belia & Sukan, Soon Lip Chee turut merakamkan penghargaan kepada lapan atlet negeri yang menyertai Kejohanan Sukan Asia Ke-18 dan telah membawa pulang tiga pingat emas, 4 perak dan satu gangsa.

Serentak itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada tujuh atlet negeri yang menyertai Kejohanan Sukan Para Asia 2018, serta berjaya membawa pulang tiga pingat emas, satu perak dan satu gangsa.

Nue Azlia Syafinaz Mohd. Zais yang meraih tiga pingat emas dan satu perak acara lumba basikal trek serta lebuh raya tandem di Sukan Para Asia 2018, antara 10 penerima SKIMAS pada tengah hari tadi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU MOHD. RADZI
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS