Atlet Pulau Pinang cemerlang terima insentif SKIMAS Kerajaan Negeri

Admin

GEORGE TOWN – Atlet-atlet Pulau Pinang yang berjaya melakar kecemerlangan di persada sukan tanah air dan antarabangsa hari ini menerima ganjaran di bawah Skim Insentif Kecemerlangan Sukan (SKIMAS) Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Majlis penyampaian insentif tersebut disempurnakan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sambil diiringi oleh Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Exco Pembangunan Pelancongan, Warisan, Kebudayaan & Kesenian, Yeoh Soon Hin; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Azhar Arshad dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Frederick Tan Teck An.

Kon Yoew memberitahu, dua penerima utama ialah atlet badminton perseorangan wanita, Goh Jin Wei dan Muhammad Amirul Hamizan (hoki berkumpulan) yang mana kedua-duanya telah berjaya merangkul pingat emas di Sukan Olimpik Remaja (YOG) yang berlangsung pada 6 hingga 18 Oktober tahun lalu di Buenos Aires, Argentina.

ANTARA wakil daripada Persatuan Sukan Orang Pekak Pulau Pinang (PSDEAF) yang hadir.

“Kemenangan tersebut membolehkan Jin Wei menerima insentif SKIMAS berjumlah RM30,000, manakala Muhammad Amirul (RM4,500).

“Selain Jin Wei dan Muhammad Amirul, atlet-atlet istimewa di bawah Persatuan Sukan Orang Pekak Pulau Pinang (PSDEAF) turut menerima RM49,500 setelah mewakili Pulau Pinang ke kejohanan Sukan Orang Pekak Malaysia Ke-20 (SOPMA) di Perak pada 15 hingga 20 Oktober 2018 dan berjaya membawa pulang empat pingat emas, perak (7) dan gangsa (6).

“Atlet-atlet di bawah Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Pulau Pinang (PESRON) yang terdiri daripada 19 atlet juga menerima insentif sebanyak RM103,000.

WAKIL-WAKIL daripada Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Pulau Pinang (PESRON).

“Atlet-atlet di bawah PESRON ini mewakili Pulau Pinang ke Sukan Para Sukan Malaysia (SUKMA) XIX di Ipoh, Perak pada 21 hingga 28 Oktober tahun lalu dan berjaya merangkul 13 pingat emas, perak (14) dan gangsa (15),’’ katanya pada sidang media di Komtar tadi.

Hadir sama, wakil-wakil daripada PSDEAF dan PESRON.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa sejak tahun 2014 sehingga 2019, sejumlah RM1,023,800 insentif SKIMAS telah disumbangkan kepada atlet Pulau Pinang yang berjaya mengharumkan nama negeri dan negara dalam bidang sukan masing-masing sama ada di persada sukan tanah air mahupun antarabangsa.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI