Audio deskriptif bantu OKU teroka Tapak UNESCO

GEORGE TOWN – George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) dan Majlis Kebangsaan Bagi Orang Buta, Malaysia (National Council for the Blind, Malaysia, NCBM) baru-baru ini melancarkan alat audio deskriptif warisan pertama di Malaysia bagi membantu orang-orang cacat penglihatan meneroka Tapak Warisan Dunia UNESCO di sini.

Projek dikenali Audio Descriptive Walk of George Town’s Heritage tersebut akan memberi peluang kepada golongan berkaitan meneroka perjalanan sejauh tiga kilometer bermula di Gereja St. George’s, Lebuh Farquhar sehingga ke Masjid Kapitan Keling di Jalan Masjid Kapitan Keling sebelum berakhir di Masjid Melayu di Jalan Acheen menggunakan alat audio deskriptif warisan.

“Pulau Pinang sekali lagi mencipta sejarahnya tersendiri kerana menyediakan kemudahan pelancongan yang boleh dinikmati oleh semua golongan termasuk mereka yang buta dan orang kurang upaya (OKU),” ujar Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika berucap pada Majlis Pelancaran Audio Descriptive Walk of George Town’s Heritage di sini baru-baru ini.

Turut berucap, Pengurus Besar GTWHI, Lim Chooi Ping dan Ahli Majlis NCBM, Rt. Rev. Charles Samuel.

Hadir sama, Exco Pembangunan Pelancongan, Law Heng Kiang, Pengarah Eksekutif NCBM, Moses Choo dan Koordinator Audio Descriptive Walk of George Town’s Heritage , Lim Chung Wei.

Jelas Guan Eng, dengan adanya kemudahan audio deskriptif berkenaan, golongan cacat penglihatan dapat ‘merasai’ menerusi sentuhan serta mendapat gambaran melalui alat bantuan pendengaran tersebut tentang warna-warni dan keunikan perwatakan George Town yang tersendiri.

“Ia merupakan suatu gambaran, seolaholah bandaraya George Town ‘hidup’,” katanya yang turut berkesempatan melihat demonstrasi disempurnakan sekumpulan sukarelawan yang juga merupakan pemandu arah, Friends of George Town Heritage (FOGTH) dan para pelatih dari St. Nicholas Home di perkarangan Gereja St. George’s di sini.

Projek Audio Descriptive Walk of George Town’s Heritage menyediakan kemudahan tiga pilihan bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin, dan terbuka kepada golongan cacat penglihatan serta penjaga mereka sahaja.

Setiap sesi atau kumpulan boleh terdiri daripada seorang hingga 15 peserta. Seorang pemandu arah dari FOGTH akan dibekalkan. Bayaran bagi pakej tersebut adalah sebanyak RM350. Tempahan perlu dilakukan sekurang-kurangnya tiga hari sebelum program berlangsung.

Bagi yang berminat untuk menyertai sesi Audio Descriptive Walk of George Town’s Heritage, sila hubungi Chung Wei melalui e-mel [email protected] atau hubungi talian 04 – 261 6606.

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);