FGT semarak kebebasan seni, ekspresi generasi muda

GEORGE TOWN – Tahun keenam Festival George Town (FGT) 2015 yang berlangsung sepanjang bulan Ogos ini diharap akan menyemarakkan lagi kebebasan bersuara dalam dunia kesenian, kalau tidak di rantau ini, memadailah di Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya merakamkan keyakinan yang jitu kepada ‘arkitek FGT’, Joe Sidek, 56, agar membawa lebih ramai penggiat seni serta peminat dari seluruh rantau ini ke negeri ini.

“Kami percaya kepada kebebasan, kami percaya kebebasan boleh melonjak kemajuan Pulau Pinang ke depan, dan itulah yang saya janjikan melalui FGT ini dan dijamin oleh Joe…(iaitu) apabila anda mengadakan persembahan walaupun agak kritikal di negeri ini, akan ada sambutan dan tidak akan ada gangguan.

“Kita (Kerajaan Negeri) pernah dikritik sejak tahun pertama FGT ini dianjurkan, tetapi, kita (Kerajaan Negeri) teruskan juga kerana kepercayaan kita (Kerajaan Negeri) bahawa kebebasan artistik membawa maksud kebebasan kita juga boleh dikritik dengan bertanggungjawab oleh pengunjung.

“Kebebasan ini akhirnya cukup menggalakkan, banyak keindahan kesenian dan banyak persembahan dari seluruh dunia datang ke Pulau Pinang dan membuat persembahan di George Town,” jelas beliau dalam kenyataannya baru-baru ini.

Difahamkan, FGT yang berlangsung selama sebulan pada Ogos ini turut akan menjunjung semangat Hari Kemerdekaan, yang dirai pada tanggal 31 Ogos 2015, sebelum membawa keraian Hari Malaysia pada 16 September nanti.

Persembahan beberapa artistik berprestij dunia dari Iran, Sepanyol dan Poland boleh dinikmati dalam FGT, sebagaimana dalam salah satu sub festival yang dikenali sebagai Festival Pinggiran Butterworth (BFF) yang baru berlangsung di Seberang Perai dengan sokongan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Sebenarnya, banyak lagi sub festival dengan persembahan pentas yang menarik sepanjang FGT, antaranya tarian berkumpul Titanium dari Sepanyol yang menampilkan ‘Medley of Flamenco’ serta tarian hip-hop, persembahan solo wanita Anna Skubik yang diterbangkan dari Poland, teater bunyi-bunyian indah dari Iran yang dikenali sebagai ‘Slow Sound of Snow’ serta pementasan terbaik dari Australia yang dipanggil ‘Am I’.

FGT kali ini menerima tajaan Kerajaan Negeri sebanyak RM3.5 juta, iaitu peningkatan sebanyak setengah juta ringgit lagi berbanding tahun lalu.

Manakala, agensi persekutuan Tourism Malaysia pula menyumbang RM1 juta, iaitu meningkatkan daripada peruntukan tahun lepas yang hanya RM750,000.

Dianggarkan, purata perbelanjaan untuk pengaturcaraan sahaja mencecah RM4 juta, tetapi 80 peratus daripada sub festival dalam FGT dibuka secara percuma kepada pengunjung, khususnya warga Malaysia dan semestinya yang tinggal di Pulau Pinang.

Harga tiket bagi sesetengah persembahan pentas yang lebih eksklusif pun ditawarkan pada harga serendah RM15 hingga RM125. Jika tiket tempat duduk persembahan seumpama itu di Istana Budaya dekat Kuala Lumpur, barangkali dibeli dengan harga antara RM200 hingga RM500.

Maklumat lanjut mengenai festivalfestival sepanjang berlangsungnya FGT, layari, georgetownfestival.com.

} else {