Ayuh semai benih harapan agar menjadi pohon yang melindungi masyarakat memerlukan, seru Ketua Menteri

Admin

BATU LANCANG – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyeru mana-mana syarikat swasta atau badan korporat untuk bersama-sama menjalankan program-program berteraskan tanggungjawab sosial korporat (CSR) agar dapat membantu dan menyumbang kepada komuniti tempatan.

Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Pesta Makanan Amal yang dianjurkan secara bersama-sama Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Lancang dan MGL Industrial and Constructions (MGL) di ruang parkir hadapan Medan Selera Batu Lancang petang tadi.

Menurut Kon Yeow, bertepatan dengan tema penganjuran iaitu ‘Charity is Hope’, Pesta Makanan Amal yang julung kali diadakan di sini berjaya mengumpulkan RM260,000 setakat ini tanpa mengira kupon tambahan yang dijual sehingga lewat tadi.

“Saya difahamkan bahawa 19 institusi dan badan kebajikan terpilih yang tidak menjana keuntungan akan menerima sebahagian sumbangan hasil jualan pada hari ini.

“Mereka ini merupakan institusi yang membantu golongan memerlukan agar dapat meneruskan kehidupan harian serta memberi harapan lebih cerah pada hari mendatang.

“Jadi, ayuhlah kita sama-sama menyemai benih harapan agar menjadi pohon yang besar dan mampu melindungi golongan yang memerlukan di negeri ini,” ujarnya.

SALAH seorang penggerai secara spontan meminta Ketua Menteri menurunkan tandatangan di atas kemeja-t yang dipakainya.

Dalam pada itu, Kon Yoew berharap bantuan yang diberikan oleh syarikat-syarikat swasta mahupun badan korporat berkaitan bukan sekadar bantuan kewangan tetapi juga kolaborasi ke arah kebajikan rakyat di negeri ini.

“Hal ini (kolaborasi) selari dengan Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang yang juga amat prihatin dan komited dalam menjaga kebajikan rakyat yang memerlukan.

“Kebajikan awam merupakan satu budaya dan juga tanggungjawab sosial yang perlu kita terapkan secara sukarela agar kerja-kerja amal seperti ini menjadi suatu kelaziman yang memberi kesan positif terhadap generasi akan datang,” katanya sambil menzahirkan ucapan syabas dan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan Pesta Makanan Amal itu.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Ong Ah Teong ketika berucap memberitahu, bantuan derma tersebut adalah bagi menyokong kerja-kerja kebajikan serta kemasyarakatan yang dilakukan oleh institusi berkaitan.

“15 institusi akan menerima sekurang-kurangnya RM15,000; tiga yang lain, RM10,000 diikuti satu institusi lain, RM5,000.

“Selain daripada itu, selaku ADUN, saya akan menyampaikan 10 kerusi roda kepada sembilan institusi yang mempunyai penghuni kurang upaya (atau OKU),” jelasnya.

RATA-RATA pengunjung yang hadir mengambil kesempatan cuti hujung minggu mengunjungi Pesta Makanan Amal di sini.

Turut sama berucap pada majlis tersebut, Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer.

ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim serta beberapa Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan wakil penduduk setempat juga hadir memeriahkan Pesta Makanan Amal berkenaan.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING