Azan berkumandang di PKL

Admin
MUHAMMAD Asyraf Mohd. Ridzuan (kanan sekali) menyampaikan tazkirah Maghrib. Turut serta Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdul Halim Hussain (duduk, hadapan, dua dari kiri), Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman (duduk, hadapan, empat dari kiri) dan Abdul Malik Abul Kassim (duduk, hadapan, kiri sekali).
MUHAMMAD Asyraf Mohd. Ridzuan (kanan sekali) menyampaikan
tazkirah Maghrib. Turut serta Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk
Abdul Halim Hussain (duduk, hadapan, dua dari kiri), Timbalan Ketua
Menteri I, Datuk Mansor Othman (duduk, hadapan, empat dari kiri)
dan Abdul Malik Abul Kassim (duduk, hadapan, kiri sekali).

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWNPenganjuran Wacana Santai bersama Ustaz Azhar Idrus (UAI) di Padang Kota Lama (PKL) di sini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang tidak pernah menghalang penganjuran mana-mana majlis ilmu di negeri ini.

Malah, pada malam 19 Mei 2012 itu, azan berkemundang dan rata-rata yang hadir telah menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah di lokasi penganjuran.

Kehadiran UAI dan beberapa personaliti, antaranya, Juara Imam Muda musim pertama, Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan; Shamril Mohd. Salleh (Sham Kamikaze); Muhamad Hakim Lokman (Bob Lokman) dan Mohd. Ali Ismail (Ali XPDC) telah menggamit kehadiran lebih 10,000 pengunjung dari Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak ke sini.

Menurut Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, kejayaan penganjuran dan berkumandangnya azan di PKL memadamkan pelbagai fitnah dilemparkan dengan melabelkan bahawa Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng sebagai anti- Islam.

“Belum pernah lagi lautan manusia hadir solat berjemaah di Padang Kota (PKL).

“Menariknya, orang ramai tidak berganjak sejak jam 5 petang lagi semata-mata ingin mendengar tazkirah dan perkongsian ilmu yang disampaikan oleh UAI,” ujar Abdul Malik sambil menyatakan bahawa penganjuran wacana santai tersebut adalah yang julung kali diadakan.

Dalam pada itu, beliau yang turut serta solat berjemaah amat berterima kasih atas sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh Kerajaan Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dalam menjayakan penganjuran program tersebut.

“Alhamdulillah, program wacana kali ini mendapat sambutan dan insyaAllah, di masa-masa akan datang, Kerajaan Negeri akan menganjurkan pelbagai program ilmu yang bukan sahaja memberi manfaat kepada belia Pulau Pinang, malah, turut membentuk peribadi belia di sini ke arah wasatiyyah,” ujar Abdul Malik.

Wacana Santai bersama UAI diadakan bersempena Program Pameran Pengguna Negeri Pulau Pinang 2012. Pelbagai gerai jualan dibuka pada hari tersebut antaranya produk-produk makanan dan minuman, pakaian serta telekomunikasi.

UAI merupakan seorang penceramah dari Terengganu yang semakin mendapat di hati masyarakat khususnya belia.

LAUTAN manusia yang hadir menunaikan solat berjemaah di PKL di sini.
LAUTAN manusia yang hadir menunaikan solat berjemaah di PKL
di sini.