B.A.C.A. ‘Buku Jalanan’ percuma – M. Fitri

Admin

SELALUNYA, Perpustakaan menyediakan perkhidmatan meminjam buku.

Jalan-Jalan baru-baru ini mendekati sekumpulan anak muda yang melakukan aktiviti serupa di Taman Vision, bersebelahan Masjid Abdullah Fahim dekat Bertam, Kepala Batas, Seberang Perai Utara.

Menarik
Beralaskan kain kosong, kumpulan muda ini menyusun semua koleksi buku-buku peribadi masing-masing untuk dipinjam serta dibaca oleh pengunjung di sini secara percuma. Paling banyak buku genre sejarah dan politik tanah air. Buku cerita untuk kanak-kanak tak kurang juga.

Koordinator, Mohamad Fitri Termizi, bekerjaya sebagai pemandu pelancong.

Anak muda itu baru graduasi dari Universiti Utara Malaysia (UUM), dalam jurusan Hal Ehwal Pengurusan Antarabangsa.

Menurut beliau, program B.A.C.A. ‘Buku Jalanan’ ini adalah inisiatif bersama-sama beberapa aktivis lain seperti ‘Abu Nawas’, ‘Mat Pon Revera’, ‘Ayah Halim’ dan beberapa orang lagi.

Walaupun baru dilancarkan sebulan yang lalu, program tersebut telahpun menerima sukarelawan lebih 40 aktivis muda, dari pelbagai latar belakang sosial.

Mohamad Fitri memberitahu, dua Ahli Majlis dari Majlis Perbandaran Seberang Perai  (MPSP), Ahmad Tarmizi Abdullah dan Mohamad Shai pol Ismail memainkan peranan penting dalam menjayakan program aktivis ini.

“Kami bukanlah perintis seperti diakui sesetengah pihak yang menganjurkan program seumpama ini.

“Kami pinjam idea Buku Jalanan ini untuk dibawa ke Pulau Pinang,” ujar Mohamad Fitri kepada wartawan akhbar Buletin Mutiara (BM), ZAINULFAQAR YAACOB baru-baru ini.

APA itu B.A.C.A.?

Umumnya, Mohamad Fitri memberitahu, program ‘Buku Jalanan’ ini sebenarnya untuk kempen membaca buku secara percuma.

Kumpulannya percaya, membaca boleh memangkin pada perubahan sosial di tanah air ini.

“B.A.C.A. bukan sekadar makna ‘iqra’’ (bacalah), tetapi, akronim book (buku), art (kesenian), culture (kebudayaan) dan activism (aktivisme).

“Pertama kali, orang tengok kami pun mereka mungkin berasa pelik. Anak-anak muda ini jual buku terpakaikah?

“Matlamat kami sebenar, gerakan budaya membaca.

Membaca adalah percuma, itu saja,” seloroh beliau.

Difahamkan, program B.A.C.A. ‘Buku Jalanan’ ini telah wujud dekat beberapa lokasi lain, seperti di Shah Alam, Manjung dan sebagainya.

Anak muda digembeling untuk membaca dan berkongsi bakat aktivisme lain melalui program seumpama ini, secara santai dan inklusif.

Program seumpama itu sekaligus dijadikan pusat perkembangan bakat aktivis muda, demi merobah masa depan negara agar lebih memberi manfaat kepada rakyat terbanyak.

Projek aktivisme di Pulau Pinang?

Mohamad Fitri merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri kerana membawa tadbir urus yang jauh lebih baik berbanding Kerajaan Negeri sebelum ini.

Pun begitu, beliau berharap usaha meruangkan partisipasi anak muda dengan program Kerajaan Negeri wajar diteruskan.

Itu, katanya lagi, termasuk memanfaatkan sumbangan anak muda melalui Penang Institude (PI) dan Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), yang baru ditubuhkan tahun lepas.

“Di Pulau Pinang bukan tidak ada apa-apa untuk orang muda.

“PI umpamanya, telah melakukan yang terbaik, termasuk membawa wacana awam mengenai Seniman Agung Negara, Allahyarham P. Ramlee ke Kepala Batas, sebelum ini.

“Ada pihak melihat orientasi PI  ini lebih orientasi satu hala, serta tidak ‘turun ke bawah’.

“Saya tidak setuju dengan pendapat pihak terbabit, tetapi, saya yakin PI boleh membuat lebih baik dari itu.

“Macam program B.A.C.A. Buku Jalanan, kita cuba untuk ‘turun ke bawah’ semungkin boleh.

“Kita tak mahu program Buku Jalanan ini eksklusif, tapi kita nak inklusif untuk semua,” jelas beliau lagi.

Selain projek membaca buku secara percuma, Mohamad Fitri memberitahu, pihaknya sejak merancang penganjuran ‘busking’, ‘Forum Orang Kampung’, deklamasi puisi, bedah buku dan sebagainya pada masa depan kelak.

Sertai program B.A.C.A. ‘Buku Jalanan’ di Taman Vision pada hari Ahad minggu pertama dan ketiga tiap-tiap bulan, sejurus selepas
waktu Asar.

Info lanjut atau urusan partisipasi demokrasi, hubungi Mohamad Fitri pada talian 013 – 464 9080 atau emel, [email protected] atau laman facebook www.facebook.com/bukujalananbertam.