Bajet 2013 perlu peka isu berkaitan wanita – Chong Eng

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng dalam kenyataan akhbar beliau baru-baru ini di sini menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak supaya melepaskan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Katanya, tanggungjawab yang digalas Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan menuntutnya memberi fokus serta menghabiskan masa dalam urusan rasmi kedua-dua kementerian tersebut.

“Dia (Najib) tidak mungkin mempunyai masa yang lebih untuk menjalankan tugas sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Oleh itu, saya meminta agar Najib meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,” katanya ketika perbahasan Bajet 2013 di Parlimen baru-baru ini.

Tambah beliau, Najib tidak peka dalam isu berkaitan wanita apabila ucapan beliau sempena sambutan Hari Wanita Kebangsaan ke-50 baru-baru ini di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Selangor menyatakan bahawa ‘pergerakan menuntut hak wanita tidak perlu dijalankan di negara ini kerana wanita telah diberikan hak mereka sejak kemerdekaan lagi’.

Hal ini, katanya, jelas menunjukkan bahawa Najib meremeh dan memperlekehkan hak wanita di Malaysia.

“Ketidakpekaan Najib dalam isu-isu wanita telah menidakkan usaha wanita dalam mengarusperdanakan hak dan kesaksamaan wanita di Malaysia,’’ tegas Chong Eng.

Selain itu, ujarnya, inisiatif kerajaan menyediakan perkhidmatan dan pusat jagaan kanak-kanak adalah dasar paling berkesan dalam membantu kaum ibu yang berkerjaya. Tetapi malangnya, apabila perbentangan Bajet 2013 baru-baru ini, Najib langsung tidak meyentuh hal tersebut.

Walau bagaimanapun, Chong Eng bersetuju dengan rancangan Program Pengarah Wanita yang bertujuan melatih 500 wanita untuk diketengahkan sebagai ahli lembaga pengarah di syarikatsyarikat swasta.

“Rancangan ini akan menambahkan pembabitan wanita sebagai pembuat dasar dalam lembaga pengarah.

“Saya bercadang agar pihak berkenaan mengumumkan syaratsyarat (rancangan tersebut) secara terperinci kepada umum bagi mengelakkan program tersebut dikatakan hanya memberi manfaat pemimpin-pemimpin wanita UMNO sahaja,” tegas beliau.

Beliau berpendapat bahawa rancangan tersebut harus dirangkumi dengan unsur pengenalan kesaksamaan gender agar wanita yang menyertai rancangan tersebut dapat berfikir dan membuat keputusan berdasarkan kesaksamaan dan keadilan gender.

“Kini, kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya mempunyai seorang menteri wanita sahaja berbanding kerajaan BN terdahulu yang mempunyai tiga wanita dalam kabinet.

“Ini jelas menunjukkan kegagalan kerajaan BN di bawah pimpinan Najib termasuklah jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang bukan dipangku oleh wanita.

“Sekiranya Najib tidak melantik ahli parlimen wanita dari BN yang berkelayakan untuk menggantikan Shahrizat adalah disebabkan masalah dalaman UMNO, maka, dia (Najib) boleh melantik siapa sahaja dalam kalangan aktivis hak wanita.

“Ramai aktivis dalam organisasi pergerakan hak wanita terlibat dalam bidang akademik dan ramai lagi yang layak dan mampu memegang jawatan tersebut,” tegas Chong Eng.

chongeng1
CHONG Eng.