Bantuan ehsan ringan beban petani

Oleh : YAP LEE YING & WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & LAW SUUN TING

PAYA TERUBONG – Kerajaan Negeri memperuntukkan bantuan ehsan bencana alam berjumlah RM112,951 kepada 218 petani sayur, buah-buahan dan padi yang terlibat dengan bencana di empat daerah di sini bagi meringankan beban ditanggung dan sekaligus menampung sebahagian kos kerugian yang dihadapi baru-baru ini.

Daripada jumlah tersebut, peruntukan bagi Daerah Barat Daya adalah berjumlah RM17,400 manakala bagi Seberang Perai Utara (SPU) (RM44,811), Seberang Perai Tengah (SPT) (RM3,250) dan Seberang Perai Selatan (SPS) (RM47,490).

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, faktor tempoh peralihan monsoon di negeri ini baru-baru ini menyebabkan keadaan cuaca tidak menentu dan taburan hujan meningkat kepada 60 peratus dari paras normal sehingga menyebabkan banyak kawasan pertanian mengalami banjir.

“Justeru, bagi meringankan beban 23 petani di Daerah Barat Daya dan 196 membabitkan tiga daerah di Seberang Perai, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan bantuan ehsan bencana alam yang keseluruhan berjumlah RM111,801 untuk disumbangkan kepada para petani terlibat,’’ katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Ehsan Bencana Alam Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Pertanian Negeri, Ahmad Munir Yusoff dan Penolong Pengarah Pertanian Negeri (Operasi), Zarina Ramli.

Menurut Afif, ekoran kejadian banjir baru-baru ini, seluas 34.1ha. kawasan projek tanaman sayur di Daerah Barat Daya telah terjejas dengan jumlah kerugian bernilai RM270,800 membabitkan 23 petani.

Tambahnya, bagi kawasan Seberang Perai adalah seluas 133.15ha. dan dianggarkan kerugian bernilai RM700,110 dengan jumlah petani terlibat adalah seramai 196 orang.

“Walaupun bantuan ini tidak seberapa, namun diharap sekurang-kurangnya ia dapat menaikkan semangat para petani untuk terus bekerja dan menyumbang kepada pengeluaran makanan negeri ini,’’ ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Dalam pada itu, Ahmad Munir memberitahu, jumlah sumbangan adalah berlainan kepada setiap petani bergantung kepada kerosakan dialami.

“Jumlah minimum sumbangan diterima adalah RM250 hasil peruntukan Kerajaan Negeri,’’ jelasnya.

Bagi Mahmud Ahmad, 58, dari Permatang Rawa, Bukit Mertajam, SPT, beliau menganggap bantuan tersebut sebagai rezeki daripada Allah.

“Saya harap sistem perparitan akan diperbaiki bagi menyelesaikan masalah banjir di sini,’’ katanya yang terpaksa menanggung kerugian kemusnahan dua hektar tanaman padi.

Bagi petani muda, Rahizam Hassan, 33, dari Kampung Masjid, Teluk Kumbar, beliau mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri ekoran sumbangan diberikan.

“Ini merupakan kali pertama saya menerima bantuan ehsan seperti ini.

“Sebelum ini, memang setiap tahun petani di sini berdepan dengan masalah kerosakan tanaman ekoran kejadian banjir, namun tak teruk macam tahun ini.

“Dengan sumbangan diterima, harap ia sedikit sebanyak dapat menampung kos kerugian yang berjumlah kira-kira RM25,000 dialami,’’ katanya yang mengusahakan tanaman kacang panjang, bendi dan pisang di tanah seluas tujuh hektar.

Petani, Tan Run Lee, 21, berkata, banjir setinggi paras lutut yang berlaku telah menyebabkan beliau kerugian sebanyak RM15,000.

“Ladang saya yang berkeluasan enam hektar pertama kali dinaiki air pada banjir kali ini dan tanaman saya seperti bendi, timun dan kacang panjang musnah sama sekali” jelas petani dari Air Putih, Balik Pulau berkenaan.

Anakili, 52, dari Sungai Burung, Balik Pulau amat bersyukur dengan sumbangan diterima.

“Saya tidak menyangka bahawa kerajaan Negeri akan tampil membantu kami.

“Dalam kejadian baru-baru ini, semua tanaman kangkung, sawi, bayam, timun dan lain-lain sayuran musnah,’’ ujarnya ketika ditemui.