Bajet 2014 MPPP tumpu keselesaan rakyat

Oleh: AHMAD ARAFAT ESAH

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) memperuntukan RM97.3 juta atau 23.18 peratus daripada jumlah keseluruhan nilai perbelanjaan Bajet 2014 projek menaiktaraf bagi tujuan pembangunan di sini.

Yang di-Pertua (YDP) MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail ketika membentangkan Bajet 2014 MPPP pada Mesyuarat Khas Majlis di sini berkata, perbelanjaan tersebut adalah meliputi projek menaiktaraf pasar- pasar awam termasuk kemudahan sedia ada, kompleks makanan, tapak penjaja, mengecat semula rumah pangsa, menaiktaraf lif, penyediaan kemudahan golongan kurang upaya (OKU) dan lain-lain.

“Perancangan tersebut adalah meliputi peruntukan sebanyak RM4 juta bagi membina pasar awam di kawasan Batu Feringgi dan RM3.21 juta bagi proses pegambilalihan tanah serta pembinaan pasar di kawasan Teluk Kumbar

“Turut tersenarai adalah penambahbaikan kemudahan awam membabitkan enam pasar awam, kompleks makanan (3) dan tapak penjaja (4).

Malah, platform menunggu bas di Terminal bas Sungai Nibong juga akan dinaiktaraf.

“Begitu juga dengan penaiktarafan Stadium Bandaraya; tambahan kolam rekreasi, tandas awam serta tempat persalinan di Taman Metropolitan; menaiktaraf kemudahan di dua balai rakyat milik Majlis dan lain-lain,’’ katanya baru-baru ini.

Menurut Patahiyah, pada aspek perkhidmatan perbandaran dan kesihatan, sebanyak RM40.16 juta diperuntukan termasuk bagi tujuan perbelanjaan pengurusan sisa pepejal, pembelian 22 unit kenderaan kutipan sampah, pelaksanaan projek serta program pengasingan sisa komuniti, kempen tandas bersih dan sebagainya.

“Sebanyak RM5.06 juta pula diperuntukan bagi memperkasakan pengurusan lalulintas dan kemudahan awam di sini (bahagian pulau) seperti penyelenggaraan tempat letak kereta, pondok perhentian bas, lampu isyarat, papan tanda serta garisan lalulintas.

“Dalam usaha mengurangkan kadar jenayah, Majlis memperuntukkan RM500,000 bagi pemasangan 50 unit kamera litar tertutup (CCTV),’’ jelasnya.

Dalam pada itu, Patahiyah memberitahu, anggaran Hasil Cukai dianggar meningkat sebanyak RM5.36 juta berbanding tahun 2013 yang berjumlah RM169.47 juta manakala anggaran Hasil Bukan Cukai adalah RM148.9 juta dan anggaran Terimaan Bukan Hasil, RM21.25 juta.