Bajet 2017: MBPP tumpu sedia kemudahan awam

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

 

GEORGE TOWN – Tumpuan utama Bajet 2017 Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) adalah berhubung penyediaan kemudahan awam selain memastikan aktiviti perniagaan kecil menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Patahiyah Ismail berkata, sebanyak 43.9 peratus daripada keseluruhan jumlah perbelanjaan bajet ditumpukan kepada penyediaan kemudahan awam.

Katanya ketika membentangkannya pada Mesyuarat Khas Majlis di Dewan Bandaraya baru-baru ini, MBPP telah merancang pelbagai projek pembangunan termasuk penyediaan kemudahan awam yang dianggarkan menelan belanja sebanyak RM280.01 juta.

“Antaranya, menyediakan kemudahan orang kurang upaya (OKU) dengan perbelanjaan RM0.50 juta, kerja-kerja menaiktaraf Balai Rakyat Jalan Patani (RM0.85 juta), Kompleks Sukan Balik Pulau (RM0.36 juta) dan Taman Metropolitan Relau (RM1.00 juta).

“Selain itu, sejumlah RM5.85 juta melalui wang sumbangan tapak penjaja juga disediakan pada tahun hadapan sebagai membuktikan kesungguhan MBPP dalam menguruskan dana pembayar cukai di negeri ini,” katanya yang turut berikrar meneruskan inisiatif menaiktaraf kompleks makanan dalam menjadikan aktiviti perniagaan kecil sebagai salah satu nafas baharu industri pelancongan negeri di sini.

Menurut Patahiyah, Bajet 2017 merupakan satu bajet defisit sebanyak RM176.15 juta iaitu melibatkan anggaran hasil sebanyak RM466.23 juta berbanding anggaran perbelanjaan sebanyak RM642.38 juta.

“Jumlah defisit ini akan dibiayai dari wang simpanan MBPP dan pada masa sama, kita (MBPP) akan terus meneroka puncapunca hasil baharu dan meningkatkan usaha lebih proaktif terhadap kutipan dan penguatkuasaan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Patahiyah memaklumkan bahawa MBPP mempunyai tiga punca hasil utama iaitu Hasil Cukai, Hasil Bukan Cukai dan Terimaan Hasil.

“Bagi tahun 2017, MBPP menganggarkan Hasil Cukai dan Terimaan Hasil masing-masing akan meningkat iaitu sebanyak RM216.97 juta atau 46.5 peratus dengan peningkatan sebanyak RM6.66 juta berbanding 2016 (RM210.31 juta).

“Diikuti, anggaran Terimaan Hasil berjumlah RM81.83 juta (17.6 peratus), iaitu peningkatan RM68.29 juta berbanding tahun 2016 (RM13.54 juta).

“Bagi Hasil Bukan Cukai, dianggarkan sebanyak RM167.43 juta atau 35.9 peratus daripada jumlah keseluruhan hasil,” jelasnya.

Menurut Patahiyah, Bajet 2017 MBPP adalah mengikut peruntukan Seksyen 55 Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang dipersetujui Ahli Majlis Dewan Mesyuarat Khas MBPP.