Pasukan Perahu Naga & Paintball MBPP beraksi cemerlang

GEORGE TOWN – Pasukan perahu naga Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berjaya mengharumkan nama negeri apabila beraksi cemerlang di 2016 Shanghai International Chinese Dragon Boat Invitational Tournament baru-baru ini.

Kedua-dua pasukan yang mewakili MBPP masing-masing berjaya menempa nama di kedudukan ke-tujuh keseluruhan untuk Kategori Kumpulan A dan tempat ketujuh (Kategori Kumpulan B).

Datuk Bandaraya MBPP, Dato’ Patahiyah Ismail berkata, dua pasukan tersebut merupakan pasukan tunggal dari Malaysia yang menyertai kejohanan tersebut.

“Secara keseluruhan, sebanyak 16 pasukan berentap bagi merebut kejuaraan dalam Kategori Kumpulan A yang memperuntukkan jarak pertandingan sejauh 500 meter dan (Kategori) Kumpulan B (10 pasukan, 5 kilometer).

“Bagi kejayaan berada di kedudukan keenam, pasukan berkaitan menerima hadiah wang tunai bernilai RM10,000 dan piala, manakala bagi tempat ke-tujuh Kategori Kumpulan B (RM8,000 serta piala),’’ kata beliau sebelum berlangsungnya Mesyuarat Biasa Majlis di sini baru-baru ini.

Kejohanan yang berlangsung pada 21 hingga 25 September lalu di Sungai Cao Gang Rover, Wilayah Qing Pu, Shanghai, China tersebut menyaksikan pertembungan 26 kumpulan pendayung profesional antarabangsa, antaranya dari China, Taiwan, Macau, Filipina, Russia, Canada, Korea Selatan, Australia, Hong Kong dan Singapura.

Dalam perkembangan lain, Patahiyah turut memuji kejayaan pasukan Paintball MBPP yang berjaya muncul sebagai naib johan pada Kejohanan Thailand Paintball Official Circuit – Gelkaps Phuket International 2016 di Surin Beach, Phuket, Thailand.

Kemenangan tersebut membolehkan pasukan MBPP membawa pulang hadiah wang tunai USD$1,000.00 beserta piala dan pingat.