Bajet 2018 Pusat: Tunggu perincian Kementerian mengenai PBT dikecualikan GST – respons YDP

SEBERANG JAYA – Senarai barangan dan jenis perkhidmatan yang akan dikecualikan daripada kenaan 6 peratus Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kebiasaannya akan diperinci oleh Kementerian Kewangan dalam surat pekeliling kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT).

Demikian respons Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud ketika diminta mengulas mengenai perbentangan Bajet 2018 Kerajaan Persekutuan baru-baru ini, yang mengumumkan pengecualian GST ke atas PBT mulai 1 April 2018 ataupun 1 Oktober tahun depan.

“(Bajet 2018 Kerajaan Persekutuan) menyebut secara umum, biasanya (pengecualian GST) untuk PBT akan diperincikan dalam surat pekeliling daripada Kementerian Kewangan,” responsnya selepas berucap dalam Perhimpunan Korporat di perkarangan depan Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Menurut Rozali, MPSP pada tahun ini menanggung kira-kira RM3 juta kenaan GST, sungguhpun dalam belanjawan tahunan PBT berkenaan bagi tahun 2017 mengunjurkan bayaran RM2 juta sahaja kepada Kerajaan Persekutuan.

“Peningkatan kos…contohnya apabila kita (MPSP) membuat projek pembangunan, dikenakan GST walaupun kita bina surau, dewan, naik taraf jalan, longkang dan sebagainya.

“Lagi banyak projek pembangunan dilaksanakan oleh MPSP, lagi banyak lah GST akan dikenakan,” jelasnya.

Justeru, beliau berharap pengecualian GST ini akan mengurangkan beban kewangan MPSP.