Bajet 2020 Pulau Pinang, tambahan peruntukan selenggara sekolah – Kon Yeow

Admin

PINANG TUNGGAL – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang mungkin akan meningkatkan lagi peruntukan khusus untuk projek penyelenggaraan sekolah-sekolah di negeri ini, pada tahun hadapan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberikan bayangan tersebut dan dijangka diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2020 Negeri pada sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 1 November 2019.

“Bagi membantu sekolah-sekolah kebangsaan di negeri Pulau Pinang menjalankan kerja-kerja baik pulih, pada tahun (2019) ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3 juta.

“Pada tahun akan datang, Kerajaan Negeri akan menambah peruntukan ini daripada RM3 juta kepada ‘xx’ juta (ringgit) yang akan diumumkan pada Bajet 2020 Negeri Pulau Pinang kelak,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi pada 26 Oktober 2019.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Sains dan Inovasi Pelajar 2019 di Sekolah Kebangsaan Pokok Sena, Kepala Batas di sini.

Turut berucap, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad.

Hadir sama, Pegawai Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Zulkifli Rashid; Ketua Penolong Pengarah BTPN Pulau Pinang, Mohd. Yusoff Sahab dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pokok Sena, Mohd. Zubir Mat Zain.

Kon Yeow berkata bahawa proses penyaluran peruntukan penyelenggaraan ke 170 buah Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan bagi tahun 2019 berjalan lancar ekoran kerjasama yang diberikan oleh JPN.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memuji inisiatif Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri, Pejabat Ketua Menteri; Penggerak Komuniti Muda (PEKA) dan JPN yang berkerjasama menganjurkan acara-acara pendidikan sempena berlangsungnya Hari Sains dan Inovasi Pelajar 2019.

“Saya telah melihat sendiri beberapa hasil eksperimen yang dibawa oleh murid dari beberapa sekolah pada hari ini.

“Saya harap langkah-langkah kecil (melalui penganjuran Hari Sains dan Inovasi Pelajar) ini, ia akan dapat menyemai minat pelajar-pelajar dalam mata pelajaran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik),” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Sebelum itu, Kon Yeow diiringi Abdul Rashid dan juri pertandingan mengikuti sesi perbentangan projek inovasi sains oleh murid-murid sendiri di gerai pameran masing-masing.

Sekolah Rendah Desa Murni muncul sebagai juara Kategori A Pertandingan Sains dan Inovasi, dikuti, Sekolah Kebangsaan Kampung Selamat dan Sekolah Kebangsaan Pokok Sena masing-masing di tempat kedua serta ketiga.

Dalam pada itu, Sekolah Rendah Taman Impian menjuarai Kategori B pertandingan, diikuti, Sekolah Rendah Permatang Pasir (tempat kedua) dan Sekolah Rendah Penaga (tempat ketiga).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar & Video : DARWINA MOHD. DAUD