Bajet 2023, Pulau Pinang bentang projek pembangunan kongsi pandangan inovatif rancak sektor pelancongan

Admin

GEORGE TOWN – Pulau Pinang menyenaraikan 10 projek keutamaan yang memberi impak besar terhadap pembangunan negeri dengan anggaran kos RM2.27 bilion bagi penyediaan Bajet 2023 (Persekutuan) kepada Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di sini sebentar tadi.

 

 

Ketua Menteri,  Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa bagi pelaksanaan di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3) Tahun 2023, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), Kerajaan Negeri telah mengenal pasti dan memohon sejumlah 126 projek pembangunan meliputi 20 Jabatan/Agensi pemohon dan Kementerian (11) dengan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM17.72 bilion, dan peruntukan yang diperlukan bagi tahun 2023 adalah berjumlah RM2.89 bilion.

 

 

“Permohonan projek-projek ini telah dikemukakan kepada Kementerian-Kementerian berkaitan serta Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, dan daripada jumlah tersebut, Kerajaan Negeri telah menyenaraikan 10 projek keutamaan yang memberi impak besar terhadap pembangunan negeri dengan anggaran kos berjumlah RM2.27 bilion.

 

 

“Pelaksanaan projek-projek ini adalah amat diperlukan Kerajaan Negeri kerana ia bakal menjadi pemangkin bagi mencapai Visi Penang2030,” katanya pada mesyuarat khas bersempena Program Jelajah Menteri Kewangan Ke Negeri Pulau Pinang Sempena Penyediaan Bajet 2023 di Komtar tengah hari tadi.

 

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohd. Zakuan Zakaria; Timbalan Pegawai Kewangan Negeri Zahidah Abd Jalil; Pengarah Pembangunan Negeri Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang Unit Penyelarasan Pelaksanaan JPM, Datuk Azman Ibrahim dan wakil-wakil delegasi Kementerian Kewangan.

 

 

Kon Yeow dalam pada itu menyahut seruan Tengku Zafrul untuk turut berkongsi pandangan ‘kreatif dan inovatif’ dalam permohonan projek bagi disenaraikan dalam Bajet 2023 Persekutuan.

 

 

“Kini, kebanyakan projek yang dimohon adalah lebih ‘tradisional’, dengan sedikit masa yang diberikan oleh Menteri Kewangan,  Pulau Pinang amat menghargai pandangan Menteri dan akan sebaik mungkin mencadangkan idea-idea baru termasuk berkait dengan pembangunan industri pelancongan negeri,” ujarnya lanjut.

 

 

Sementara itu, Tengku Zafrul menyatakan bahawa selain perbelanjaan pembangunan yang dibentangkan, beliau turut membuka peluang untuk cadangan bagi pembangunan industri pelancongan Pulau Pinang.

 

 

“Pulau Pinang mempunyai banyak aset termasuk yang memperoleh pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO), dan negeri ini juga merupakan lokasi pelancongan utama negara.

 

 

“Justeru, Kerajaan Persekutuan ingin melihat pendekatan untuk membantu pada aspek berkaitan,” ulasnya.

 

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa Pulau Pinang masih ada masa untuk berkongsi cadangan-cadangan berkaitan untuk tujuan penyediaan Bajet 2023 Persekutuan.

 

 

Difahamkan, antara 10 projek keutamaan dibentangkan Kerajaan Negeri adalah Projek Lebuh Raya Pan Island Link Fasa 1A; menaik taraf Laluan Persekutuan FT006 Bayan Lepas ke Teluk Kumbar; pembaharuan semula Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Tembak; pembinaan laluan basikal mesra alam di persisiran pantai Batu Feringghi; naik taraf kemudahan sekolah; Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sanglang, Seberang Perai Selatan; pembinaan struktur jambatan Cliff Walk Bukit Bendera dan menaik taraf Stadium Negeri Batu Kawan dan lain-lain.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD