Bajet 2024 MBSP manfaatkan RM148.98 juta peruntukan MARRIS

Admin
SUASANA di Dewan, Menara Bandaraya semasa perbentangan Bajet 2024 MBSP pada petang tadi.

SEBERANG JAYA – Pada tahun 2024 Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan membelanjakan RM148.98 juta dari sumber Kumpulan Wang Penyelenggaraan Jalan (MARRIS) untuk kerja-kerja pembersihan jalan di seluruh kawasan pentadbiran bandar raya ini.

Semasa membentangkan anggaran perbelanjaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad berkata pentadbirannya pada tahun hadapan turut memperuntukkan RM1 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan kawasan perindustrian, selain RM75,000 untuk pembelian mesin rumput.

“Perbelanjaan (lain) yang terlibat bagi menjadikan Seberang Perai lebih bersih adalah bayaran ‘tipping fees’ untuk pelupusan sampai di Pulau Burung; pengangkutan sampah di Ampang Jajar (RM5.0 juta); bayaran perkhidmatan pengurusan sisa pepejal lestari (RM0.41 juta) dan pelupusan e-waste (RM25,000),” jelasnya di Menara Bandaraya MBSP di sini pada 13 September 2023.

Selain itu, beliau berkata sebanyak RM1.52 juta diperuntukkan pada tahun depan untuk tujuan bekalan dan sewaan tong sampah; pembelian peralatan pembersihan (RM1.4 juta); sewaan kenderaan (RM3.0 juta serta bayaran kontrak pembersihan bersepadu di Pulau Aman (RM0.18 juta).

“MBSP juga akan membuat penambahbaikan kenderaan (dengan anggaran perbelanjaan) RM0.1 juta); bayaran balik dan faedah atas Wang Pinjaman untuk Pengurusan Sisa Pepajal dan Pembersihan Awam (RM5.63 juta).

“Sebanyak RM0.15 juta pula diperuntukkan untuk pelbagai pengurusan tempat membuang sampah,” jelasnya lagi sambil berharap segala perancangan perbelanjaan berkaitan itu demi menjayakan agenda pembangunan hijau dan persekitaran bersih di bandar raya Seberang Perai.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB