Bajet 2027: Pulau Pinang hargai pertimbangan Kerajaan Persekutuan, harap buka ruang realisasi PTFC

Admin
img 20261007 wa0020

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menghargai pertimbangan Kerajaan Persekutuan terhadap tujuh daripada 10 projek keutamaan yang dikemukakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk dipertimbang di bawah Rolling Plan (RP2) Tahun 2027, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13),

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, senarai 10 projek berkenaan telah dikemukakan oleh Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN) kepada Kementerian Kewangan pada Februari 2026 bagi dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027 Persekutuan.

“Daripada 10 projek keutamaan yang dicadangkan, sebanyak tujuh projek diterima oleh Kementerian Kewangan, manakala projek-projek lain mungkin akan diumumkan dan dimaklumkan kemudian oleh kementerian masing-masing.

“Tiga lagi projek yang dicadangkan tidak diterima, tetapi Kerajaan Negeri masih boleh membangkitkan semula projek-projek berkaitan pada masa akan datang,” ujarnya ketika menjawab soalan berita berkaitan permohonan projek keutamaan Pulau Pinang menjelang pembentangan Belanjawan 2027 Persekutuan yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober ini.

Hadir sama, Exco Pelaburan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik.

Menurut Kon Yeow, tujuh projek yang mendapat maklum balas positif itu melibatkan aspek sumber air, pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), kemudahan awam, tebatan banjir serta naik taraf infrastruktur jalan raya.

“Tujuh projek berkenaan ialah Pemetaan dan Penilaian Sumber Air Bawah Tanah di Negeri Pulau Pinang; Penang STEM Talent Blueprint; Cadangan Membina Kompleks Pasar Awam Teluk Kumbar di atas Lot 908, Jalan Teluk Kumbar, Daerah Barat Daya dan Projek Naik Taraf Infrastruktur Mekanikal dan Elektrikal bagi Sistem Kawalan Banjir di Seluruh Malaysia.

“Selain itu, Projek Naik Taraf Jalan Bukit Tambun FT149 dari Persimpangan Jalan Persekutuan FT001 ke Persimpangan Tol Bukit Tambun Selatan, Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan; Projek Naik Taraf Jalan dari Permatang Tinggi (Sek. 740.4) ke Sungai Juru (Sek. 746.4) di Laluan Persekutuan FT001, Bukit Tengah, Seberang Perai Tengah dan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kelang Ubi, Daerah Seberang Perai Tengah turut tersenarai,” jelasnya.

Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri menghargai pertimbangan Kerajaan Persekutuan terhadap projek-projek berkenaan, khususnya dalam mengambil kira kedudukan kewangan negara dan keperluan mendahulukan projek yang benar-benar perlu dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

“Bagi saya, projek-projek ini semua penting, tetapi kita memahami kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan dan mereka cuma akan memberi kelulusan bagi projek yang dianggap perlu dilaksanakan dalam masa yang terdekat ataupun projek keutamaan yang perlu dilaksanakan segera,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow mengumumkan bahawa cadangan penubuhan Penang International Financial Centre (PIFC) kini dijenama semula sebagai Penang Technology Financial Centre (PTFC) bagi mencerminkan kekuatan dan peranan Pulau Pinang sebagai hab teknologi, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor.

Menurut beliau, Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas PIFC telah mengemukakan Kertas Putih kepada Kementerian Kewangan pada September 2026 selepas beliau mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri sebelum pembentangan cadangan tersebut kepada Kementerian Kewangan.

“Setelah siri perbincangan dan mendengar maklum balas, kita sekarang telah mengubah tajuk daripada Penang International Financial Centre (PIFC) kepada Penang Technology Financial Centre (PTFC).

“Nama ini lebih sesuai dengan peranan negeri Pulau Pinang dan Wilayah Utara sebagai hab E&E dan semikonduktor negara,” ulasnya.

Tambah Kon Yeow, penubuhan PTFC dilihat penting bagi menyediakan akses kepada kapital, khususnya untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat tempatan serta syarikat pemula (startup) mengembangkan perniagaan masing-masing dalam ekosistem teknologi.

Beliau menyatakan bahawa langkah itu juga selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk memastikan pertumbuhan sektor semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI) tidak hanya dipacu syarikat multinasional (MNC), sebaliknya turut membuka lebih banyak ruang kepada syarikat tempatan meningkatkan skala operasi.

“Memang sudah banyak syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia, tetapi kita ingin melihat lebih banyak syarikat pemula dan PKS dalam sektor ini mendapat akses kepada kapital supaya mereka dapat meningkatkan skala operasi syarikat,” katanya.

Justeru, Kon Yeow berharap pembentangan Belanjawan 2027 Persekutuan bukan sahaja membawa berita baik berhubung tujuh projek keutamaan negeri, malah turut membuka ruang kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk merealisasikan penubuhan PTFC di Pulau Pinang.

“Selain daripada projek yang telah dinyatakan tadi, kita berharap Bajet 2027 juga dapat membawa berita baik berhubung permintaan Kerajaan Negeri untuk bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan menubuhkan Penang Technology Financial Centre (PTFC) di Pulau Pinang,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : ALISSALA THIAN