Peruntukan Sekolah Angkat MADANI bantu naik taraf infrastruktur SK Bayan Baru

623f84dd f2e0 46b7 bf9a 783e14ae4b37

PANTAI JEREJAK – Peruntukan sebanyak RM100,000 menerusi inisiatif Sekolah Angkat MADANI telah membantu meningkatkan kemudahan infrastruktur dan keselesaan warga Sekolah Kebangsaan (SK) Bayan Baru.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin berkata, peruntukan tersebut disalurkan terus kepada pihak sekolah bagi membolehkan pengurusan menentukan keperluan dan melaksanakan projek bersesuaian mengikut keutamaan.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke SK Bayan Baru bagi meninjau pelaksanaan projek-projek yang dilaksanakan menerusi inisiatif berkenaan sebentar tadi.

“Pendekatan memberikan kebebasan kepada pihak sekolah dalam menguruskan peruntukan itu penting kerana pihak sekolah lebih memahami keperluan sebenar murid dan warga pendidik.

“Saya berbangga kerana dapat menyalurkan peruntukan RM100,000 menerusi inisiatif Sekolah Angkat MADANI kepada SK Bayan Baru.

ce59a580 e761 42bf 81c6 d43e5f2f2d3b 4eda7227 1683 47c3 8012 7b7f02ef7f1b 63f3184a ae51 4b53 9c6d 76a3a0fda01b f052632b 10d2 494a 9581 55eb1272f759

“Peruntukan ini disalurkan terus kepada pihak sekolah dan saya memberikan kepercayaan kepada mereka untuk menentukan keperluan yang perlu diberi keutamaan dalam pemilihan projek,” ujarnya ketika meninjau projek-projek naik taraf yang telah dan sedang dijalankan di SK Bayan Baru di sini tengah hari tadi.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Chan Soon Aun dan Mohd. Aidil Fitri Ibrahim; Guru Besar SK Bayan Baru, Razif Othman dan barisan pentadbir sekolah tersebut.

Antara projek yang dilaksanakan termasuk pemasangan penghawa dingin di empat kelas pendidikan khas, pemasangan kipas bersaiz besar di dewan sekolah serta kerja-kerja pembaikan infrastruktur, termasuk bumbung dan bilik guru.

Difahamkan projek transformasi tersebut meliputi gotong-royong, naik taraf dan pemerkasaan infrastruktur digital, keselamatan serta keselesaan persekitaran.

Tambah Tze Tzin, beliau melihat kemudahan pendingin hawa di kelas pendidikan khas amat penting bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa kepada murid berkeperluan khas.

“Apabila melihat sendiri kemudahan yang telah disediakan, saya berasa amat tersentuh kerana usaha ini dapat membantu menyediakan suasana pembelajaran yang lebih selesa kepada murid, khususnya murid pendidikan khas.

“Kita akan melihat keperluan seterusnya, termasuk usaha melengkapkan baki kelas yang masih belum mempunyai pendingin hawa,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru.

Dalam pada itu, Tze Tzin memberitahu bahawa peruntukan kepada sekolah-sekolah di kawasan Parlimen Bayan Baru telah menunjukkan perubahan ketara dari segi kemudahan fizikal selepas dilaksanakan secara berperingkat sejak beberapa tahun lalu.

Antara sekolah yang menerima manfaat termasuk SK Seri Permai, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Tun Uda, SK Minden Heights, SK Sungai Nibong, SK Batu Maung, SMK Sungai Nibong, SMK Batu Maung dan SK Mutiara Perdana.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), atas sokongan berterusan dalam menambah baik kemudahan sekolah.

“Usaha mendidik dan membesarkan anak-anak memerlukan kerjasama semua pihak.

“Justeru, sekolah, kerajaan dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu bergerak bersama-sama bagi memastikan murid mendapat persekitaran pembelajaran yang baik.

“Saya berharap kerjasama ini dapat diteruskan supaya lebih banyak keperluan sekolah dapat dipenuhi pada masa hadapan,” katanya lagi.