Bantuan one-off bantu ringankan kos sara hidup petani

835950599 988762140933412 1181944390036300404 n

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri meneruskan komitmen membantu golongan pesawah dan petani menerusi penyerahan Bantuan Sara Hidup secara one-off kepada penerima di daerah Barat Daya dan Timur Laut.

Menurut Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan, Dato’ Rashidi Zinol, bantuan berkenaan merupakan antara usaha Kerajaan Negeri bagi meringankan beban golongan petani dalam menangani kos sara hidup dan operasi pertanian.

“Golongan pesawah dan petani memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan serta keterjaminan bekalan makanan di negeri ini.

“Bantuan ini adalah sebahagian daripada usaha kita (Kerajaan Negeri) untuk membantu meringankan beban para pesawah dan petani yang terus memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan makanan kita sentiasa terjamin.

834978567 988762634266696 1290588406444300176 n 835880235 988763104266649 5033793485664849819 n 838090387 988762787600014 3442851548147308009 n 834962182 988762610933365 8551285372734154067 n 835757811 988762914266668 1601135209539894027 n

“Kita mahu memastikan kebajikan golongan petani terus diberi perhatian dan pada masa sama sektor pertanian dapat terus diperkasa,” ujarnya pada Program Penyerahan Bantuan Sara Hidup One-Off Kepada Pesawah dan Petani Sayur di daerah Barat Daya dan Timur Laut, dekat Dataran Komuniti Kampung Perlis, Balik Pulau, baru-baru ini.

Tambah Rashidi, sebelum ini penyerahan bantuan yang sama telah dilaksanakan kepada penerima di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

“Selepas SPS dan SPT, hari ini kita teruskan pula penyerahan kepada penerima di bahagian pulau, melibatkan pesawah padi dan petani sayur dari Barat Daya serta Timur Laut.

“Kerajaan Negeri akan terus turun padang untuk mendengar sendiri suara dan keperluan golongan petani supaya usaha pembangunan sektor pertanian dapat dilaksanakan secara lebih berkesan,” jelasnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa perhatian berterusan terhadap kebajikan petani penting bagi memastikan sektor pertanian Pulau Pinang kekal berdaya tahan dan mampu menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan negeri.

Gambar: EXCO