HPP terima empat mesin penapis air susulan maklum balas awam

Admin
img 6057

 

GEORGE TOWN – Hospital Pulau Pinang (HPP) menerima sumbangan empat unit mesin penapis air bernilai kira-kira RM1,800 setiap satu daripada badan bukan kerajaan (NGO), Buddhist Tzu Chi Merits Society (Tzu Chi), bagi meningkatkan kemudahan serta keselesaan pesakit dan warga kerja hospital.

Timbalan Pengarah (Pengurusan) HPP, M. Maheswari berkata, sumbangan tersebut disalurkan susulan maklum balas orang awam berhubung keperluan menyediakan kemudahan mesin penapis air untuk pesakit di hospital berkenaan.

“Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) Hospital Pulau Pinang bertindak pantas dengan mendapatkan sokongan pihak NGO bagi memenuhi keperluan tersebut.

“Dalam tempoh kira-kira tiga minggu, ALPH berjaya mendapatkan sumbangan daripada pihak NGO, kali ini daripada Tzu Chi.

“Ini menunjukkan kerjasama yang baik antara pihak pengurusan hospital, ALPH dan pihak NGO dalam mengenal pasti perkara yang boleh ditambah baik demi keselesaan pesakit serta warga kerja HPP,” katanya ketika melawat lokasi penempatan empat unit mesin penapis air berkenaan di HPP, pagi tadi.

img 6061

Hadir sama, Pengerusi ALPH, Dato’ Tay Leong Seng; wakil Tzu Chi, Datuk Seri Ong Kok Sun serta pihak pengurusan HPP.

Difahamkan, daripada empat unit berkenaan, satu ditempatkan di Klinik Urologi, manakala dua unit disediakan untuk kegunaan warga kerja di bahagian farmasi dan satu unit lagi ditempatkan di bahagian pengurusan.

Tambah Maheswari, mesin penapis air di Klinik Urologi dijangka boleh digunakan oleh pesakit mulai esok selepas melalui tempoh 12 jam yang diperlukan selepas pemasangan.

“Paling penting, pesakit di Klinik Urologi kini boleh menggunakan kemudahan ini mulai esok.

“Kita sentiasa melihat ruang yang boleh diperbaiki dan sekiranya terdapat peruntukan atau sumbangan daripada pelbagai pihak, kita akan manfaatkannya bagi meningkatkan keselesaan di hospital.

“Semua pihak juga sedar bahawa banyak perkara yang boleh kita perbaiki di HPP dan ia merupakan satu proses yang sentiasa berkembang.

“Pihak pengurusan hospital bersama ALPH dan pihak klinikal akan terus bekerjasama dengan semua pihak,” jelasnya.

Sementara itu, Kok Sun berkata, sumbangan mesin penapis air tersebut bukanlah kali pertama pihaknya membantu HPP, malah pihaknya pernah menyalurkan sumbangan sama beberapa tahun lalu.

Menurutnya, pihak Tzu Chi mengambil tindakan selepas menerima permohonan daripada ALPH, selain mengambil kira maklum balas orang awam di media sosial berhubung keperluan tersebut.