Bakal terima 75 bas elektrik, Rapid Penang transformasi wajah pengangkutan awam negeri

Admin
45bc9d98 7da6 45ef 895b 88ee91cc4c19 KETUA Menteri (depan, kanan), Anthony Loke Siew Fook (depan, kiri) dan Mohd. Nasir Ahmad (belakang) seusai acara ujian penumpang sebuah bas diesel bersaiz 8.9 meter (m) yang baharu di bawah kendalian Rapid Penang, dari Jalan Padang Kota Lama di sini pada 12 Januari 2025.

GEORGE TOWN – Rapid Bus Sdn. Bhd. (Rapid Bus) iaitu anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan merancangkan perolehan 1,600 bas elektrik secara berperingkat dari tahun 2026 hingga 2031, bagi menggantikan sebahagian besar bas sedia ada termasuk di negeri Pulau Pinang.

Setakat ini, Rapid Penang akan menerima baki 60 daripda 70 buah bas diesel bersaiz 8.9 meter (m) yang baharu secara berperingkat menjelang akhir bulan Februari 2026.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa penghantaran sejumlah bas baharu tersebut melengkapkan sebahagian daripada 175 bas diesel kumpulan akhir daripada keseluruhan 310 buah (bas diesel) yang diperoleh Rapid Bus sejak bulan Julai tahun lepas untuk pengoperasian di Pulau Pinang, selain di Lembah Klang.

“Rapid Penang mula beroperasi di Pulau Pinang dalam lingkungan tahun 2007 dan 2008 (yang mana) banyak bas sedia ada telah beroperasi selama 10 tahun hingga 15 tahun.

“Sudah tiba masanya proses penggantian bas-bas baharu secara berperingkat, bermula dengan bas diesel, kemudian bas EV (kenderaan elektrik) yang menjadi sebahagian hala tuju Prasarana untuk menawarkan ‘pengangkutan hijau’ ke seluruh Malaysia termasuk negeri Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi dalam sidang media bersama-sama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook di Jalan Padang Kota Lama dekat sini pada 12 Januari 2026.

Bercakap kepada pemberita sebelum itu, Siew Fook menyatakan bahawa berdasarkan pelan peralihan strategik jangka sederhana dan panjang, Rapid Bus merancang perolehan 1,600 bas elektrik secara berperingkat dari tahun 2026 hingga 2031.

“Bagi fasa pertama, sebanyak 250 bas elektrik dijangka diterima secara berperingkat bermula pada Mac 2025 hingga Mac 2027, yang mana melibatkan 175 bas untuk Rapid KL dan Rapid Penang (75),” ujarnya sambil memberitahu bahawa bas EV dijangka beroperasi di Pulau Pinang mulai Mei 2026.

Tambah beliau, pelaksanaan inisiatif penggantian bas tersebut adalah selari dengan peningkatan prestasi perkhidmatan Rapid Penang, yang merekodkan 17.4 juta penumpang pada tahun 2025 (iaitu) meningkat tujuh peratus berbanding 2024.

“Pencapaian ini turut menunjukkan tahap pemulihan sebanyak 65 peratus bagi jumlah penumpang berbanding era pra pandemik.

“Prestasi memberangsangkan ini mencerminkan keyakinan orang ramai yang semakin meningkat terhadap kebolehpercayaan, kestabilan dan kualiti perkhidmatan bas Rapid Penang di Pulau Pinang,” ulasnya yang juga Ahli Parlimen Seremban, Negeri Sembilan.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari; Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Dato’ Seri Jana Santhiran Muniayan; Pengerusi Kumpulan Prasasana, Tan Sri Mohd. Nasir Ahmad; Pengerusi Rapid Bus, Dato’ Seri Mustafar Ali dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan turut sertai acara berkaitan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : SIEW CHIA EN