‘Bakul Makanan’ kolaborasi antara negeri dan persekutuan bantu B40, usahawan tani

(Dari kiri) MOHAMAD Mustahapa Awang, Abdul Halim Hussain dan Mohd. Azraie Ramli pada acara ringkas agihan ‘Bakul Makanan’ dan pek bantuan ‘MAFI Prihatin’ di Pusat Khidmat ADUN Batu Maung di sini pada 8 Ogos 2021.

BATU MAUNG – Seramai 392 penduduk lokal sekitar Sungai Ara dan Batu Maung serta warga Wisma Anak Yatim Islam Pulau Pinang menerima agihan bantuan makanan berupa produk usahawan, sayur-sayuran dan buah-buahan daripada wakil Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui agensi persekutuan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

ABDUL Halim Hussain

Bercakap kepada pemberita, Exco Perdagangan & & Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain memberitahu bahawa program yang dikenali sebagai ‘MAFI Prihatin’ tersebut bukan sahaja membantu golongan terjejas dalam kalangan sektor isi rumah B40, malah sekali gus membantu para usahawan tani memasarkan hasil industri mereka.

 

“Melalui MMK (Majlis Mesyuarat Kerajaan) Pembangunan Usahawan, kita (Kerajaan Negeri) akan memikirkan lagi bentuk-bentuk program yang boleh dilaksanakan dengan FAMA demi membantu B40, juga usahawan tani.

 

“Bagi saya, ‘MAFI Prihatin’ ini adalah serampang dua mata iaitu bantu memasarkan hasil pertanian dan bantu B40,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung di Pusat Khidmat ADUN Batu Maung di sini pada 8 Ogos 2021.

ACARA agihan bantuan kepada salah seorang penerima terpilih (dua dari kanan) peringkat KADUN Batu Maung menjelang tengah hari tadi.

Turut serta, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA, Dato’ Mohamad Mustahapa Awang; dan Pengarah FAMA Pulau Pinang, Mohd. Azraie Ramli.

MOHAMAD Mustahapa Awang

Sementara itu, Mohamad Mustahapa memberita bahawa sehingga bulan Julai lepas MAFI menganjurkan ‘MAFI Prihatin’ di lebih 300 lokasi seluruh negara melibatkan 10 agensi berkaitan kementerian berkenaan serta melimpahkan pelbagai bentuk manfaat kepada 64,000 individu.

 

“Lebih 28,000 surat rentas negeri dikeluarkan oleh FAMA untuk membantu para usahawan tani memasarkan hasil pertanian mereka sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP, sejak 18 Mac 2021).

 

“Di samping itu, dalam tempoh musim buah-buahan terutamanya durian, jumlah keseluruhan belian durian kampung oleh Pusat-pusat Operasi FAMA sehingga 3 Ogos 2021 adalah 158.09 metrik tan yang mana 33 peratus (52.76 metrik tan) dijual secara segar, sementara baki 67 peratus (105.29 metrik tan) telah diproses di tujuh pusat memproses FAMA.

 

“Selain itu, ‘FAMA Prihatin’ pada pagi ini turut bantu membawa hasil pertanian usahawan tani dari Ara Kuda untuk diagihkan kepada penerima.

 

“Kita (MAFI menerusi FAMA) turut membawa hasil pertanian dari Malaysia Timur seperti ‘Pisang Sabang’, sebagai serampang dua mata iaitu membantu usahawan tani yang mendaftar diri bawah FAMA untuk memasarkan hasil pertanian mereka, juga untuk promosi variasi buah itu di Semenanjung Malaysia,” katanya lagi.

 

Difahamkan, di Pulau Pinang terdapat seramai 246 usahawan tani berdaftar di bawah FAMA termasuk 146 peserta aktif.

 

Mengulas lanjut, Mohd. Azraie berkata bahawa usahawan tani dialu-alukan untuk mendaftar diri di Pejabat FAMA negeri bagi mendapatkan khidmat bantuan berkaitan seperti program memasarkan hasil pertanian semasa pandemik COVID-19 kini.

 

NORAZLINA Sulaiman

NORAZLINA SULAIMAN, 36, merupakan antara penerima agihan sumbangan bantuan makanan di bawah program ‘MAFI Prihatin’.

 

Tinggal di Permatang Damar Laut dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Permatang Laut, Norazlina memuji program kolaborasi yang melibatkan agensi persekutuan dan Kerajaan Negeri tersebut.

 

“Saya berhenti kerja selepas melahirkan anak, cuma mengambil upah mengasuh kanak-kanak di rumah.

 

“Macam suami pun, baru-baru ini baru boleh kembali memandu lori, disebabkan PKP.

 

“Datuk (Abdul Halim) ada meminta maklumat seperti kad pengenalan saya dan kaedah untuk dihubungi, terima kasih Datuk atas jemputan ke program (‘MAFI Prihatin’) ini,” ujarnya kepada Buletin Mutiara.

 

ENG Beng Tuan

ENG BENG TUAN, 66, bagi pihak anaknya, LIM SHIAO HOEY, 43, turut merakamkan penghargaan kepada Abdul Halim dan FAMA negeri.

 

“Anak perempuan saya bekerja kilang, seorang ibu tunggal macam saya juga, dan beliau mempunyai tiga orang anak.

 

“Mewakili anak, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Datuk (Abdul Halim) yang turun memberikan pek bantuan makanan di bawah Program Bakul Makanan, juga kepada penganjur program ‘MAFI Prihatin’,” katanya yang tinggal di Permatang Damar Laut.

 

R. Jayadewi

Nada sama, turut dizahirkan oleh seorang lagi penerima, R. JAYADEWI, 56.

 

“Saya juga merupakan ibu tunggal, tinggal dengan seorang anak, juga cucu saudara yang sudah tidak mempunyai ibu bapa.

 

“Pandemik (COVID-19) memang begitu dirasai kesannya kerana saya tidak boleh lagi menjaja mainan kanak-kanak di Padang Kota Lama; dan bantuan (yang saya sekeluarga terima) di bawah Program Bakul Makanan dan program ‘MAFI Prihatin’ sebagaimana dianjurkan menjelang tengah hari ini memang begitu ditunggu-tunggu oleh sekalian rakyat terutama B40,” jelasnya yang kini tinggal di Apartmen Mayang Pasir dekat sini.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : LAW SUUN TING