Balik Pulau, Seberang Perai terus diperkasa sebagai destinasi pelancongan utama negeri – Exco

Admin
8026d85f 270a 4d7a 8fa1 3cd9132a0cd0

GEORGE TOWN – Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata pihaknya akan memperkembang industri pelancongan negeri secara seimbang dengan memperhebat program promosi kawasan pelancongan di sekitar Balik Pulau dan Seberang Perai.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Paya Terubong berkata, bagi kawasan Balik Pulau, kempen ‘The Other Side of the Island’ kendalian Penang Global Tourism (PGT) terus menjadi tunjang utama dalam mengetengahkan keindahan semula jadi dan keunikan budaya di kawasan tersebut.

“Balik Pulau mempunyai daya tarikan tersendiri terutamanya apabila tiba musim durian yang sentiasa menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.

“Selain ekopelancongan, kita juga mempromosikan pelancongan sukan melalui penganjuran acara tahunan seperti Balik Pulau Half Marathon dan Pantai Malindo Half Marathon yang berjaya menarik penyertaan ramai peminat sukan larian ke sini,” ujarnya ketika sesi penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Kelima Belas di sini pada 13 Mei 2026.

Mengulas lanjut mengenai pembangunan di Seberang Perai, Hon Wai menjelaskan bahawa kempen ‘The Opposite Side of the Island’ turut dipergiat bagi memastikan kawasan tersebut tidak ketinggalan dalam peta pelancongan negeri.

Menurut beliau, ekosistem pelancongan di Seberang Perai kini diperkukuh melalui Program Geran Pekan Kecil ‘Levelling Up Seberang Perai’ (LUSP) oleh Think City yang melibatkan pelancaran 12 bahan promosi baharu termasuk peta, buku panduan dan filem pendek.

“Satu Memorandum Persefahaman (MoU) juga telah dimeterai antara PGT dan Think City untuk memperkukuh kerjasama strategik menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Usaha ini merangkumi pembangunan komuniti, pemerkasaan perusahaan tempatan serta menaik taraf ruang awam yang menghubungkan aset budaya dan alam semula jadi di Seberang Perai,” katanya lagi.

Tambah Hon Wai, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) kini sedang giat menjalankan Kajian Inventori Produk Pelancongan merangkumi aspek sejarah, gastronomi dan ekopelancongan di seluruh daerah Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS) yang dijangka siap pada penghujung 2026.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai kejayaan pembangunan Robina Ecopark di Telok Air Tawar yang kini menjadi salah satu mercu tanda rekreasi keluarga yang penting di Seberang Perai.

“Pembangunan Robina Ecopark Fasa I dan II yang menelan kos keseluruhan sebanyak RM3.85 juta adalah berpaksikan konsep hijau dan pintar selaras dengan Visi Penang2030.

“Dengan keluasan 13 ekar, taman ini menyediakan kemudahan rekreasi, sukan dan kesenian yang meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat,” jelasnya lagi.

Selain Robina Ecopark, difahamkan, produk pelancongan lain seperti Galeri Arkeologi Guar Kepah, ‘Penang River Cruise’ di Juru, serta kehadiran Bertam Resort yang kini di bawah jenama antarabangsa Marriott Bonvoy Club, turut meletakkan Seberang Perai sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Video : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN