Bandingkan dasar PH, PN dan BN sebelum buang undi 19 November – Kon Yeow

Admin

SUNGAI DUA – Pakatan Harapan (PH) ada kelebihan mendapatkan sekali lagi mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya para pengundi berdaftar membuat perbandingan secara objektif antara dasar PH dengan dasar-dasar yang ditawarkan oleh dua gabungan parti lawan iaitu Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sebelum membuang undi pada 19 November ini.

Calon PH bagi kawasan Parlimen Batu Kawan, Chow Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata demikian semasa menyampaikan ceramah umum di Pasar Awam Sungai Dua di sini.

“Pakatan Harapan dengan manifesto yang diumumkan akan menjanjikan suatu perubahan dari segi sistem pendidikan kita supaya melahirkan tenaga manusia yang utuh serta dapat menggerakkan pembangunan negara pada masa hadapan.

“Jika dibuat perbandingan lagi, secara inklusif yang diumumkan dari segi kaum, agama, gender termasuk OKU (orang kurang upaya) dan (meratakan pembangunan) mengikut wilayah.

“Saya merasakan (perbandingan-perbandingan ini) memberi alasan yang cukup baik mengapa kita boleh memilih Pakatan Harapan dalam PRU15.

“(Justeru,) dengan mengambil kira beberapa perbandingan ini, Pakatan Harapan lebih layak mendapat mandat daripada pengundi-pengundi di seluruh Malaysia termasuk Parlimen Tasek Gelugor,” katanya yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang merangkap Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri Pulau Pinang di sini pada 8 November 2022.

Sebelum itu, Kon Yeow menjelaskan beberapa perbandingan dasar antara PH, BN dan PN daripada segi menguruskan ekonomi rakyat serta tatakelola Kerajaan Persekutuan.

RAZAK Ridzuan

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Muhamad Sabu dan calon PH bagi Parlimen Tasek Gelugor, Razak Ridzuan turut berucap dalam ceramah mega tersebut.