Bangkai babi dilupus di kawasan jauh dari penempatan awam – Ketua Menteri

Admin

BUKIT TAMBUN – Kesemua bangkai babi yang telah dimusnahkan ekoran penyakit Demam Babi Afrika (ASF) ditanam di kawasan jauh dari penempatan awam dan lokasi yang tiada pembangunan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa langkah tersebut adalah bagi mengelakkan berlakunya kacau ganggu kepada orang awam di kawasan yang terlibat.

“Setakat hari ini (28 Januari 2023), sebanyak 23 ladang babi komersial di kawasan Seberang Perai telah disahkan positif ASF.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan populasi babi yang telah dijangkiti adalah sebanyak 53,275 ekor di seluruh negeri Pulau Pinang.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 7,998 ekor babi telah dimusnahkan dari ladang positif di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dan daerah Seberang Perai Tengah (SPT) setakat semalam.

“Namun begitu, kerja-kerja pemusnahan masih lagi giat dijalankan bagi mengekang penularan penyakit ini ke ladang-ladang lain,” katanya pada sidang media sempena lawatan ke Pusat Operasi ASF dekat Perkampungan Valdor di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP), Dr. Saira Banu Rejab serta wakil-wakil berkaitan.

Chow Kon Yeow ketika mengadakan sidang media sebentar tadi.

Pada masa sama, Kon Yeow menasihati orang awam agar tidak berasa cemas dengan kejadian penyakit ASF kerana ia bukan penyakit zoonotik dan hanya menjangkiti ternakan babi serta babi hutan.

“Penyakit ini merupakan penyakit yang berkepentingan ekonomi, sangat cepat merebak dan boleh menyebabkan 100 peratus kematian dalam tempoh dua hingga 10 hari kepada ternakan babi yang dijangkiti,” katanya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa terdapat 124 ladang babi di empat daerah di Pulau Pinang dengan populasi keseluruhan sebanyak 267,348 ekor.

Menurut beliau, sehingga kini, masih terdapat 101 ladang babi di negeri ini belum dijangkiti penyakit ASF dengan populasi sekitar 214,073 ekor.

“Jumlah ini merangkumi 35 ladang di SPS dengan jumlah 97,104 ekor; 60 ladang di Seberang Perai Utara, SPU (100,600 ekor); dua ladang di SPT (5,539 ekor) dan empat ladang di Daerah Barat Daya, DBD (10,830 ekor).

“Justeru, penternak dari ladang-ladang yang disahkan selamat masih dibenarkan menghantar ternakan mereka ke rumah sembelihan bagi memastikan bekalan daging babi tidak terjejas di pasaran,” ujarnya.

Kon Yeow dalam pada itu, turut menggesa penternak dan orang awam supaya memberikan kerjasama kepada pihak JPVPP bagi membolehkan tindakan menyeluruh diambil dalam usaha mengekang penularan ASF di negeri ini.

“Sekali lagi diingatkan kepada penternak dan orang awam agar segera melaporkan sebarang kematian pada babi hutan, babi kampung atau babi komersial kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah (JPVD) terdekat.

“Selain itu, mereka juga boleh menghubungi Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri atau menerusi Hotline Bilik Pengurusan Krisis Penyakit JPVPP di talian 04-5041047,” serunya.

Pada sidang media sama, Saira Banu mengingatkan para penternak supaya mengikut segala Prosesur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh JPV bagi mengekang jangkitan ASF di negeri ini.

“Ini termasuklah proses pembersihan lori yang digunakan untuk mengangkut babi secara menyeluruh selain tidak melawat ladang-ladang babi yang lain,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : ALISSALA THIAN