CABARAN hidup yang dilalui menjadi titik perubahan buat EZZA SAIDIN, 45, untuk bangkit membina semula kehidupan menerusi perniagaan makanan tradisional yang kini menjadi sumber rezeki utamanya.
Ibu tunggal itu berkata, selepas meninggalkan bidang jahitan sekitar tahun 2017, beliau memberanikan diri menceburi perniagaan makanan walaupun tidak mempunyai asas dalam bidang masakan.
Menurutnya, pengalaman menjual pelbagai jenis makanan akhirnya menemukan beliau dengan produk yang kini menjadi identiti perniagaannya iaitu aneka pulut tradisional.
“Saya bermula tanpa pengalaman memasak, seorang kenalan yang mengajar saya cara membuat beberapa menu sebelum akhirnya fokus kepada pulut kerana sambutannya sangat baik.
“Saya juga mahu makanan tradisional Melayu seperti pulut ini terus dikenali dan tidak hilang ditelan zaman,” katanya ketika ditemui wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL dan jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS.
Kini, Ezza mengusahakan pelbagai jenis pulut tradisional termasuk pulut kuning berlapis, pulut kuning berlauk, pulut inti dan pulut kacau, selain menghasilkan pulut hantaran berbentuk kek untuk majlis istimewa serta menerima tempahan bagi kenduri, hotel dan pelbagai acara.
“Selain menu berasaskan pulut, saya juga turut menyediakan rendang ayam sebagai kuah, serunding, roti jala dan puding koktel.
“Puding koktel pula pernah menjadi antara sumber pendapatan utama ketika pandemik COVID-19 apabila permintaan terhadap pencuci mulut meningkat.
“(Manakala) roti jala merupakan produk baharu yang diperkenalkan tahun ini dan turut mendapat sambutan yang menggalakkan,” tambahnya.

Tambah Ezza, tempahan roti jala perlu dibuat sekurang-kurangnya tiga hari lebih awal, manakala tempahan dalam kuantiti besar digalakkan dibuat seminggu lebih awal bagi memastikan proses penyediaan berjalan lancar.
“Pulut berlauk bersama rendang dijual pada harga RM8 sebekas, manakala roti jala bersama rendang ayam pula RM10.
“Kalau pelanggan mahu rendang daging, kami boleh sediakan mengikut jumlah tempahan,” katanya.
Mengulas mengenai operasi perniagaannya, Ezza berkata buat masa ini beliau masih bekerja di sebuah hotel di Pulau Pinang sambil menguruskan tempahan makanan pada waktu lapang.
Namun, Ezza menyasarkan untuk memberi sepenuh perhatian kepada perniagaan seawal Januari 2027 sekiranya perancangan mengembangkan produk berjalan seperti dirancang.
“Sasaran saya, jika produk sudah lebih meluas di pasaran, Januari 2027 saya ingin fokus sepenuhnya kepada perniagaan.
“Sekarang saya sedang menyusun semula semuanya termasuk menubuhkan syarikat baharu serta memohon semula lesen dan akaun syarikat supaya lebih teratur,” ujarnya.

Dalam usaha memperkukuhkan perniagaan, Ezza turut mengikuti pelbagai kursus keusahawanan dan kini berada dalam proses pemilihan program pembangunan usahawan di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang menawarkan geran peralatan bernilai sehingga RM20,000.
“Bantuan tersebut bukan dalam bentuk wang tunai, sebaliknya membolehkan usahawan memperoleh peralatan seperti pengukus industri dan kelengkapan bengkel yang diperlukan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran.
“Perancangan masa hadapan saya juga merangkumi pembinaan sebuah bengkel di Kedah bagi memudahkan pengeluaran tempahan berskala besar selain mengurangkan kos operasi.
“Bengkel tersebut bukan sahaja menjadi pusat pengeluaran, malah membuka peluang pekerjaan kepada penduduk kampung khususnya golongan wanita yang sukar bekerja di luar kerana komitmen menjaga anak dan keluarga,” jelasnya lanjut.

Mengakhiri wawancara, Ezza berharap perniagaan yang dibina semula itu mampu berkembang lebih jauh sekali gus membuktikan bahawa kesukaran hidup bukan penghalang untuk seseorang bangkit mencipta kejayaan.
“Saya berharap suatu hari nanti orang akan kenal Nurha Enterprise sebagai tempat untuk mendapatkan pulut tradisional yang berkualiti, dan pada masa sama saya dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada wanita di kampung,” tuturnya.
Orang ramai yang berminat membuat tempahan boleh menghubungi Ezza menerusi Facebook Ezza Saidin, TikTok @nurhakitchentradisi atau di talian 019-4612 513 untuk maklumat lanjut.