PBIM 2026 perkenal rekaan baju penamat dan pingat baharu, catat lebih 21,000 penyertaan

Admin
img 20260806 131841

GEORGE TOWN – Aspen–Klippa Penang Bridge International Marathon (PBIM) 2026 terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara acara larian paling berprestij di negara ini apabila memperkenalkan reka bentuk baharu baju penamat dan pingat eksklusif, sekali gus menyuntik keterujaan menjelang perlumbaan yang dijadual berlangsung pada 13 Disember ini.

Pengerusi Penganjur merangkap Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, pengenalan identiti baharu itu bukan sekadar pembaharuan kosmetik, sebaliknya mencerminkan penghargaan terhadap pengorbanan, ketabahan dan pencapaian setiap pelari yang berjaya menamatkan perlumbaan.

Menurut beliau, baju penamat dan pingat merupakan simbol kejayaan yang mempunyai nilai sentimental tinggi dalam kalangan pelari, justeru aspek reka bentuk serta kualitinya diberi perhatian khusus.

“Bagi edisi tahun ini, kami membangunkan konsep berasaskan tiga prinsip utama iaitu kualiti premium, kebolehpercayaan serta sentuhan elegan yang ringkas dan malar segar.

“Kami tidak mengejar trend semasa, sebaliknya mahu menghasilkan rekaan yang bersih, klasik dan kekal relevan supaya peserta berbangga memakainya bukan sahaja pada hari perlumbaan, malah untuk tempoh yang panjang selepas itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Baju Penamat dan Pingat PBIM 2026 di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Aspen Group, Ir. Anilarasu Amaranazan; wakil Klippa (Ikano Centres), Jo Saw; Ketua Bahagian Pemasaran IHH Healthcare Malaysia, Khairul Annuar Yusof; Pengarah Urusan Brooks Malaysia, Tiew Cheng Tai dan Pengarah Urusan Kumpulan Emico Holdings Berhad, Francis Lim.

img 20260806 132128img 20260806 131957img 20260806 132040

Hon Wai berkata, baju penamat PBIM 2026 dihasilkan menerusi kerjasama dengan Brooks Malaysia selaku rakan rasmi pakaian, manakala reka bentuk pingat pula direalisasikan oleh EMICO, sekali gus menghasilkan cenderamata penamat yang berkualiti tinggi serta bernilai sebagai koleksi.

Mengulas mengenai perkembangan PBIM, beliau berkata, acara berkenaan kini telah berkembang jauh melangkaui sebuah perlumbaan maraton dan muncul sebagai antara produk pelancongan sukan utama Pulau Pinang.

Katanya, setiap Disember ribuan pelari dari dalam dan luar negara hadir ke negeri ini, bukan sahaja untuk berlumba, malah turut menginap di hotel, menikmati makanan tempatan, melawat destinasi pelancongan serta berbelanja, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi pelbagai sektor.

“PBIM bukan lagi sekadar acara larian, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh pelancongan sukan negeri serta mengangkat imej Pulau Pinang sebagai destinasi bertaraf dunia yang mampu menganjurkan acara sukan antarabangsa.

“Apabila kami mengatakan PBIM mempromosikan Pulau Pinang, acara ini sebenarnya benar-benar memberi impak secara langsung kepada ekonomi dan reputasi negeri,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Hon Wai memaklumkan sehingga kini PBIM 2026 telah merekodkan lebih 21,000 penyertaan, antara jumlah tertinggi dalam sejarah penganjurannya.

Daripada jumlah itu, lebih 5,000 peserta menyertai kategori Maraton Penuh, lebih 10,500 peserta bagi Separuh Maraton dan lebih 6,000 peserta untuk Larian 10 Kilometer.

Menurut Hon Wai, sambutan luar biasa khususnya bagi kategori Separuh Maraton membuktikan PBIM terus mendapat kepercayaan komuniti pelari tempatan dan antarabangsa.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai yang masih belum mendaftar supaya berbuat demikian sebelum tarikh tutup pada 31 Ogos 2026, memandangkan kuota penyertaan lazimnya dipenuhi lebih awal setiap tahun.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Aspen dan Klippa by IKANO Centres selaku penaja utama, IHH Healthcare Malaysia sebagai penaja utama kategori Larian 10 Kilometer, selain semua agensi kerajaan, rakan strategik, pasukan teknikal dan sukarelawan yang terus komited memastikan kejayaan penganjuran PBIM saban tahun.

“Matlamat kami kekal sama iaitu menjadikan PBIM sebagai acara larian bertaraf antarabangsa yang terus mendapat pengiktirafan dunia, menawarkan pengalaman terbaik kepada setiap peserta serta menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi dan pengukuhan jenama Pulau Pinang,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong.

Bagi yang berminat untuk menyertai acara larian berprestij ini boleh mendaftar di laman sesawang rasmi PBIM: penangmarathon.gov.my.

Maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai PBIM 2026 boleh didapati di lama sosial Facebook (Penang Bridge International Marathon) dan
Instagram (@pbim.my).

Teks & Gambar: R. SARBEYSHWARAN