Penang FC jalin kerjasama dengan syarikat nutrisi, bantu tingkat prestasi pemain

Admin
photo 2026 08 03 10 43 59

GEORGE TOWN – Penang FC memeterai kerjasama strategik VitaHealth, Aspen Nutrition dan EASTROC Beverage (Malaysia) sebagai usaha memperkukuhkan aspek kesihatan, pemakanan sukan, pemulihan serta hidrasi pemain.

 

Menurut Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen, kerjasama tersebut bukan sekadar melibatkan penajaan, malah menjadi satu perkongsian strategik yang memberi fokus kepada aspek kesihatan, pemakanan, hidrasi, pemulihan dan sains sukan dalam memastikan pemain berada pada tahap prestasi terbaik sepanjang musim.

 

“Hari ini, kita bukan sekadar mengumumkan kerjasama penajaan, tetapi membina satu hubungan strategik yang mempunyai matlamat bersama untuk menyokong pembangunan Penang FC sebagai sebuah kelab bola sepak yang lebih profesional, berdaya saing dan mampan.

 

“Dalam bola sepak profesional hari ini, kejayaan sesebuah pasukan bukan hanya ditentukan sepanjang 90 minit di atas padang, tetapi juga merangkumi sistem sokongan seperti latihan, pemakanan, kesihatan, hidrasi, pemulihan serta sains sukan.

 

“Melalui kepakaran VitaHealth, Aspen Nutrition dan EASTROC, kita mahu memastikan para pemain Penang FC menerima sokongan yang lebih menyeluruh bagi membantu mereka mengekalkan tahap kecergasan, kesihatan dan prestasi sepanjang musim,” ujarnya dalam satu sidang media Pengumuman Kerjasama Strategik Penang FC Bersama VitaHealth, Aspen Nutrition dan EASTROC dekar sebuah hotel semalam.

 

Hadir sama, Pengurus Besar Penang FC, Jeffrey Chew Gim Eam; Ketua Pegawai Eksekutif Vita Life, Dr. K.S Beh; Pengurus Produk Aspen Nutrition, P.A Alicia Raveena dan Pengurus Jualan EASTROC, Ong Soo Chuen.

 

Tambah Zi Sen, VitaHealth akan memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesihatan dan kesejahteraan pemain, manakala Aspen Nutrition akan menyokong aspek pemakanan sukan serta proses pemulihan pemain selepas latihan dan perlawanan.

 

Dalam pada itu, EASTROC pula akan membantu memenuhi keperluan hidrasi pemain dan pegawai pasukan menerusi sokongan pengambilan cecair serta elektrolit yang mencukupi ketika sesi latihan dan pertandingan.

 

Mengulas lanjut, Zi Sen merangkap Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Penang FC berkata, pembangunan sebuah kelab bola sepak profesional memerlukan sokongan pelbagai pihak termasuk sektor korporat bagi memperkukuh pengurusan, kebajikan pemain, pembangunan bakat dan hubungan dengan komuniti.

 

“Saya berharap kerjasama yang dimeterai pada hari ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pasukan dalam tempoh satu musim, malah menjadi permulaan kepada hubungan strategik jangka panjang yang dapat berkembang bersama Penang FC.

 

“Pada masa sama, kerjasama ini membuka ruang untuk kita bersama-sama mempromosikan gaya hidup sihat dan aktif kepada para penyokong serta masyarakat Pulau Pinang.

 

“Bola sepak juga mempunyai kekuatan untuk menyatukan masyarakat dan menjadi platform terbaik untuk menyampaikan mesej berkaitan kesihatan serta kesejahteraan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.

Gambar : BERNAMA