SEBERANG JAYA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyifatkan bahawa bangunan baharu Hospital Seberang Jaya (HSJ) yang dirasmikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim, sebagai bukti bahawa kesejahteraan rakyat di negeri ini sentiasa menjadi keutamaan.
Beliau berkata, bangunan baharu yang siap dibina sepenuhnya pada 12 April tahun lepas, dan beroperasi mulai 5 Mei tahun sama turut membawa impak sosial ekonomi yang signifikan kepada negeri Pulau Pinang, khususnya penduduk di Seberang Perai.
“Sejak mula beroperasi pada tahun 1995, HSJ telah menjadi pusat rawatan utama di Seberang Perai dengan menyediakan pelbagai perkhidmatan dari rawatan kecemasan, pesakit luar, kepakaran klinikal hingga sokongan rehabilitasi.
“Dengan terbinanya bangunan baharu ini, HSJ kini memasuki fasa baharu, yang bukan sahaja lebih kondusif dan selesa tetapi juga lebih moden dengan penggunaan teknologi perubatan terkini, menjadikan perkhidmatan kesihatan lebih berkesan serta berdaya saing.
“Selain itu, bangunan baharu ini juga membuka peluang pekerjaan, merancakkan ekosistem perkhidmatan kesihatan dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem kesihatan awam selain menjadi mercu tanda pembangunan Seberang Perai,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Baharu HSJ dekat sini sebentar tadi.


Menurut Kon Yeow, Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat menghargai kelulusan projek naik taraf dan pembaikan fasiliti kesihatan, termasuk klinik dan fasiliti daif di negeri ini membabitkan 49 projek pada tahun 2025 membabitkan peruntukan RM16.67 juta pada tahun 2025, serta kelulusan empat projek kesihatan baharu di bawah Rolling Plan 1 (RP1), Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) tahun ini.
“Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama penuh kepada Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan sebarang usaha atau inisiatif yang memberi impak positif kepada rakyat.
“Ini kerana projek dan program yang selari dengan aspirasi Visi Penang2030 dan Malaysia Madani akan terus menjadi fokus utama, bagi membina sistem kesihatan yang mampan, inklusif dan berdaya saing demi kebaikan semua,” katanya pada majlis berkaitan.
Turut hadir, Menteri Kesihatan, Dato’Sri Dr. Dzulkefly Ahmad; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Shamsul Azri Abu Bakar; Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen; barisan Exco Kerajaan Negeri; Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Hanifah Hajar Taib; Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad; Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Dr. Fazilah Shaik Allaudin dan Pengarah HSJ, Dr. Shameni Sunasundram.
Sementara itu, Anwar dalam ucapan selepas itu menyatakan bahawa dengan sokongan pelbagai pihak, pembinaan bangunan berkaitan akhirnya berjaya disiapkan, menyediakan perkhidmatan perubatan yang lebih berkualiti, lebih cekap dan lebih tepat pada masanya kepada rakyat.

Beliau turut menyentuh mengeni perubahan dasar pembelian ubat dengan memberi keutamaan kepada ubat generik yang memenuhi piawaian keselamatan telah berjaya menjimatkan hampir RM1 bilion.
“Ubat dari Amerika harganya RM100 sebiji sedangkan (ubat) generik dari negara lain boleh dibeli RM10.
“Paling penting adalah ubat ini selamat dan berkesan, bukan kerana kita kagum dengan jenama mahal semata-mata,” jelasnya.
Anwar dalam pada itu juga menyeru rakyat supaya mengurangkan pengambilan gula memandangkan Malaysia antara negara yang mencatat kadar diabetes tertinggi di Asia.
Kata beliau, tabiat pemakanan tidak sihat khususnya pengambilan gula yang tinggi menjadi antara punca utama peningkatan masalah kesihatan awam, sekali gus memberi tekanan kepada sistem perubatan negara.


“Penggunaan gula di Malaysia ini antara
tertinggi di Asia.
“Kerajaan membelanjakan sejumlah besar untuk perubatan tetapi amalan pemakanan sihat perlu diperkukuh agar rakyat tidak terdedah kepada pelbagai penyakit,” ulasnya lanjut.
Justeru, Anwar menyatakan bahawa kempen kesedaran mengenai pengurangan gula perlu dipertingkatkan termasuk melalui penyediaan pilihan makanan dan minuman yang lebih sihat di hospital serta premis kerajaan.
“Hospital dan klinik juga wajar memainkan peranan lebih aktif dengan memaparkan poster serta mesej kesihatan yang jelas bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang bahaya pengambilan gula secara berlebihan,” serunya.
Dalam pada itu, Dzulkefly memberitahu bahawa HSJ dikategorikan sebagai Hospital Jenis 2, iaitu Hospital Pakar Major berfungsi sebagai Hospital Utama bagi Hospital Kluster Seberang Perai, merangkumi Hospital Bukit Mertajam (HBM), Hospital Kepala Batas (HKB) dan Hospital Sungai Bakap (HSB).

“Bangunan baharu ini dilengkapi dengan fasiliti moden merangkumi penambahan 316 katil baharu menjadikan keseluruhan 729 katil; dewan bedah tambahan (6); katil Unit Rawatan Rapi (ICU, 7) serta Cardiac Rehabilitation Ward (16 katil) khusus bagi Perkhidmatan Kardiologi Kanak-kanak.
“Melalui penaiktarafan ini, penduduk Seberang Perai tidak perlu lagi mengharungi kesesakan di jambatan untuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP) semata-mata bagi mendapatkan rawatan pakar kerana fasiliti ini membawa perkhidmatan kepakaran lebih dekat kepada rakyat,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata bahawa KKM telah menerima dana pembangunan berjumlah RM191.8 juta pada tahun ini, khusus untuk membangunkan fasiliti kesihatan di Pulau Pinang.
Sehubungan itu, beliau menyatakan bahawa sebanyak RM16.6 juta sedang disalurkan segera bagi menaik taraf fasiliti kesihatan sedia ada, dan RM9.3 juta untuk membaiki klinik daif serta membina Wellness Hub.
Selain itu, tambah beliau, Perdana Menteri juga telah meluluskan peruntukan di bawah RP1, RMKe-13 untuk melaksanakan Kajian Awalan Pembinaan Bangunan Baharu (Tambahan) Hospital Kepala Batas.


“KKM juga sedang berunding dengan Kerajaan Negeri bagi mendapatkan tanah atau tapak bersebelahan hospital sedia untuk tujuan pembangunan semula HSB, manakala perancangan membangunkan semula HBM turut sedang diteliti.
“KKM dan Jabatan Kerja Raya (JKR) komited menyegerakan projek klinik yang telah diluluskan, antaranya Klinik Kesihatan (Jenis 3) Bandar Tasek Mutiara yang dijangka siap penghujung tahun ini serta pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Mak Mandin yang bermula pada September 2025, dan dijangka siap pada September 2028,” jelasnya.
Selain itu, Dzulkefly berkata bahawa proses reka bentuk Klinik Kesihatan (Jenis 2) Bayan Lepas turut disegerakan bagi membolehkan proses tender dimulakan secepat mungkin.
“Malah, Perdana Menteri juga telah meluluskan pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 2) Kubang semang dan Kompleks Kesihatan Bersepadu Seberang Perai Tengah di bawah
Belanjawan 2026 dengan kos keseluruhan RM94.6 juta,” ujarnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI