Bangunan lama MPSP dicadang sebagai UTC Pulau Pinang – Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri mencadangkan kepada Kementerian Kewangan supaya mempertimbangkan bangunan lama Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dekat Butterworth sebagai Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, syarikat berkaitan juga telah berhubung dengan MPSP bagi membincangkan perkara tersebut sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Bangunan lama MPSP memang ditawarkan untuk dipertimbangkan sebagai UTC, namun sehingga sekarang masih belum ada perkembangan positif mengenainya.

“Malah, MPSP juga berharap agar ia dapat dipertimbangkan kerana lokasinya yang berdekatan dengan Penang Sentral,” kata beliau pada sidang media di sini sebentar tadi.

Mengulas cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail yang mahukan sebuah pusat sehenti dibina di Balik Pulau, Kon Yeow menyatakan bahawa bahawa perkara itu perlu mengambil kira permintaan serta keperluan penduduk agar perkhidmatan yang ditawarkan dapat dinikmati sebaiknya.

“Sekiranya terdapat keperluan serta peruntukan kewangan membenarkan, Kementerian Kewangan akan mewujudkan UTC di bandar-bandar utama yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi.

“Malah, bagi tahun 2019, Kementerian Kewangan dalam perancangan untuk menubuhkan UTC Pulau Pinang berdasarkan kepada ketersediaan dan keperluan,” ujarnya pada sesi perbahasan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di sini sebentar tadi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD