Bantah projek takungan di Sungai Muda jika beri kesan negatif kepada Pulau Pinang, tegas Exco

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri membantah pelaksanaan projek Takungan Air Pinggiran Sungai di Singai Muda sekiranya ia memberi kesan negatif kepada negeri Pulau Pinang.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mempertimbangkan beberapa tindakan termasuk membawa perkara tersebut ke mahkamah.

“Kesan akibat pelaksanaan Projek Takungan Air Pinggiran Sungai di Sungai Muda masih belum diketahui tetapi sekiranya projek itu memberi kesan buruk kepada negeri Pulau Pinang, maka Kerajaan Negeri akan bertindak untuk menghentikannya serta-merta.

“Antara pilihan untuk memberhentikan pelaksanaan projek yang merugikan ini adalah termasuk mengemukakan bantahan rasmi kepada Kerajaan Persekutuan dan mengusulkan bantahan untuk dibahaskan di Parlimen.

“Selain itu, Kerajaan Negeri turut mempertimbangkan tindakan undang-undang untuk mendapatkan injunksi di mahkamah,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Dato’ Muhamad Yusoff Mohd. Noor dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14 dekat Bangunan Dewan Undangan Negeri, di sini sebentar tadi.

Tegas Zairil, sebarang projek baharu yang ingin dilaksanakan di Sungai Muda, Kedah dan hulu muka sauk Lahar Tiang Pulau Pinang perlulah mematuhi undang-undang Negeri dan Persekutuan.

“Projek sedemikian tidak boleh memberikan kesan buruk atau menjejaskan perkhidmatan bekalan air kepada 1.78 juta penduduk di Pulau Pinang.

“Krisis bekalan air di Pulau Pinang juga akan menyebabkan kerugian besar kepada semua perniagaan yang kini menyumbang sebanyak RM94.7 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun 2019.“Oleh itu, kita tegaskan bahawa Kerajaan Negeri Kedah tidak boleh menjalankan projek yang melibatkan Ulu Muda yang belum dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau yang juga ADUN Tanjong Bunga berkata bahawa ketika ini Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengabstrak lebih 80 peratus air mentah dari Sungai Muda untuk menghasilkan air terawat setiap hari.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri akan terus melindungi kepentingan Pulau Pinang berkenaan dengan jaminan bekalan air,” katanya sambil menambah bahawa PBAPP akan berusaha untuk melaksanakan lebih banyak projek strategik di bawah Inisiatif Bekalan Air Pulau Pinang 2050 (PWSI 2050) bagi mengurangkan risiko kemungkinan berlakunya musibah di Sungai Muda.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS & MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR