Bantahan terhadap cadangan pembangunan kawasan kubur Cina sedang diteliti SPC, respons Exco

Admin
d9324dca 4c6b 4d16 80ed 5858faea62ec JASON H’ng Mooi Lye

SEBERANG JAYA – Bantahan kira-kira 300 penduduk tempatan sekitar kawasan Bukit Indera Muda, Permatang Pauh terhadap cadangan pembangunan kawasan perkuburan Cina yang dikemukakan Persatuan Keturunan Guang Dong Seberang Perai sedang diteliti pada peringkat Jawatankuasa Perancang Negeri (SPC).

Mengulas lanjut, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata bahawa pihaknya menyedari bahawa isu bantahan penduduk tempatan terhadap cadangan projek pembangunan kawasan perkuburan Cina tersebut adalah sensitif dari segi perkauman dan keagamaan.

“Permohonan masih dalam peringkat SPC, masih dalam perbincangan dan kita (Pihak Berkuasa Negeri) belum putuskan lagi.

“Kita (SPC) akan lihat kesesuaian tapak tersebut,” respons beliau seusai merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Depoh Pembersihan Ampang Jajar, Pejabat Operasi Jabatan MBSP dan Pusat Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu (ISWMC) di sini pada 19 Disember 2023.

Dalam perkembangan lain, Mooi Lye turut memberi respons kepada cadangan komuniti setempat baru-baru ini terhadap hasrat Kerajaan Negeri Perpaduan Pulau Pinang untuk meneruskan hasrat pembinaan asrama pekerja di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bayan Lepas.

“Asrama pekerja yang pertama dibina di Bukit Minyak (dekat KADUN Bukit Tengah), ramai juga membuat bantahan, tetapi sehingga hari ini kita dapat melihat hasilnya (dari sudut) pengawalan yang lebih komprehensif.

“Justeru, saya percaya kebimbangan rakyat tempatan (terhadap cadangan pembinaan asrama pekerja di Bayan Lepas) masih ada, tetapi segala permohonan mesti melalui proses tertentu (seperti) mendapat kelulusan SIA (Laporan Penilaian Impak Sosial) dan EIA (Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar), pengezonan tapak dan sebagainya bagi memastikan sama ada projek tersebut sesuai atau tidak di tapak tersebut,” jelasnya lagi.

Menjawab soalan pemberita, Mooi Lye menyatakan bahawa pihaknya tidak pasti sama ada projek pembinaan asrama pekerja di Teluk Kumbar, Bayan Lepas itu akan diteruskan atau tidak adalah bergantung kepada permohonan pemaju projek tersebut.

Terdahulu, penduduk tempatan dilaporkan akan mengadakan perhimpunan aman bagi bantahan projek pembinaan asrama pekerja dekat Teluk Kumbar pada 30 Disember 2023.

Bantahan tersebut adalah sebagai reaksi kepada jawapan Mooi Lye dalam Mesyuarat Kedua Penggap Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Ke-15 pada 29 November 2023 yang antara lain menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Perpaduan Pulau Pinang berpendapat tiada keperluan untuk memindahkan projek asrama pekerja berpusat (CLQ) di kawasan Teluk Kumbar ke Zon Perindustrian Batu Kawan memandangkan ia telah mendapat kelulusan teknikal Penilaian Impak Sosial (SIA).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS