Bantu pemilikan rumah pertama, Kerajaan Negeri sasar 22,000 unit skim RTO menjelang 2030

Admin

PULAU BETONG – Penawaran unit secara skim sewa beli (RTO) merupakan inisiatif Kerajaan Negeri dalam membantu pemilikan rumah pertama khususnya dalam segmen rumah mampu milik (RMM) A dan B.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, pada masa ini pencapaian semasa unit RTO adalah sebanyak 2,474 iaitu sebanyak 11.2 peratus daripada sasaran ditetapkan iaitu 22,000 unit keseluruhannya.

“Sasaran sebanyak 22,000 unit telah ditetapkan untuk penawaran RTO dan ini merupakan peningkatan daripada sasaran asal sebanyak 1,000 unit menjelang tahun 2030.

“Penyediaan unit RTO ini secara langsung berkait dengan ketersediaan unit RMM,” ujarnya pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Taman Prestij Idaman, di Daerah Barat Daya (DBD) di sini semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail dan Azrul Mahathir Aziz (ADUN Bayan Lepas).

Sebagai rekod selaras dengan Inisiatif Strategik A1 di bawah Visi Penang2030 : Menangani Isu Kemampuan dna Kepelbagaian Perumahan, sejumlah 220,000 unit RMM pelbagai kategori perlu disediakan menjelang tahun 2030.

Terdahulu, pemaju swasta telah menyerahkan sebanyak 1,175 unit RMM A berkeluasan 650 kaki persegi (kp) kepada Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) selaku Pemilik Unit Hasil daripada pelaksanaan Dasar Melestari, Melaris dan Mempergiatkan Penjualan RMM.

Jagdeep memaklumkan bahawa daripada 1,175 unit ini, sebanyak 612 unit iaitu 52 peratus akan ditawarkan secara RTO.

“Sejumlah 152 penawaran secara RTO dan Jual Beli telah dibuat dan dijangka 430 unit akan selesai penawaran menjelang Disember 2021, dan serentak itu hari ini kita memberikan tawaran kepada 47 orang iaitu RTO sebanyak 29 penerima dan Jual Beli (18),” ujarnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : EXCO